Bilangan jawatan dalam sektor ekonomi 8.68 juta

Bilangan jawatan dalam sektor ekonomi 8.68 juta, lepasi paras prapandemik

PEMULIHAN berterusan ekonomi membantu peningkatan sektor pasaran buruh di dalam negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi pada suku ketiga 2022 meningkat sebanyak 3.2 peratus atau 269,800 kepada 8.68 juta berbanding 8.41 juta suku sama tahun sebelumnya, manakala jumlah jawatan diisi adalah 8.48 juta atau 97.8 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut DOSM, jumlah itu melepasi paras prapandemik, sekali gus menunjukkan tanda pemulihan dalam pasaran buruh negara.

Sementara itu, jumlah kekosongan jawatan pada suku dilaporkan adalah sebanyak 191,000 atau 2.2 peratus, dengan bilangan jawatan yang diwujudkan meningkat kepada 30,530.

DOSM berkata, dari segi peratus sumbangan mengikut kategori kemahiran, jawatan dalam kategori separuh mahir mencatatkan sumbangan tertinggi sebanyak 62.3 peratus atau 5.41 juta, diikuti kategori mahir (2.16 juta/24.9 peratus), manakala 1.11 juta atau 12.8 peratus jawatan adalah dalam kategori berkemahiran rendah.

“Pada suku ini, bilangan jawatan diisi dalam kategori mahir meningkat kepada 2.11 juta jawatan dengan kadar jawatan diisi adalah 97.8 peratus dan 2.2 peratus adalah kekosongan jawatan (48,000). Sejumlah 8,510 jawatan telah diwujudkan dalam kategori ini,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kategori separuh mahir, bilangan jawatan yang diisi adalah sebanyak 5.30 juta, meningkat 157,000 berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Kategori itu merangkumi 98 peratus kadar jawatan diisi dan kekosongan jawatan sebanyak 2.0 peratus (106,000). Selain itu, kategori ini mencatatkan sejumlah 18,700 pewujudan jawatan.

Selain itu, jawatan diisi dalam kategori berkemahiran rendah meningkat kepada 1.98 juta berbanding 1.06 juta suku sama 2021.

Mengikut aktiviti ekonomi, lebih separuh daripada jawatan dan jawatan diisi pada suku dilaporkan adalah dalam sektor perkhidmatan masing-masing sebanyak 4.5 juta (51.9 peratus) dan 4.47 juta (52.7 peratus). Sektor pembuatan pula mencatatkan 2.39 jawatan (27.6 peratus) dan 2.28 juta jawatan diisi (26.9 peratus).

Sektor pembuatan merekodkan sumbangan terbesar bagi kekosongan jawatan sebanyak 107,000 (56.1 peratus), diikuti pertanian 31,000 (16.1 peratus). Manakala sektor perkhidmatan merangkumi 15.7 peratus atau 30,000, diikuti pembinaan 11.9 peratus atau 23,000 dan perlombongan dan pengkuarian (0.2 peratus/438).

“Pewujudan jawatan tertinggi adalam dalam sektor perkhidmatan dengan 51.5 peratus atau 15,700 jawatan diwujudkan, diikuti sektor pembuatan dengan sumbangan 32.0 peratus (9,800) dan pembinaan (11.5 peratus/3,500),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN