PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dilihat akan meningkatkan kembali keyakinan pelabur untuk melabur ke Malaysia selain menstabilkan kembali situasi politik dalam negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, Anwar kini mempunyai peluang untuk memacu ekonomi negara yang semakin pulih.
“Beliau mampu menjadikan ekonomi negara lebih berdaya saing terutamanya pada tahun hadapan yang mempunyai cabaran tersendiri seperti kemelesetan ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid menjangka, penerimaan pelabur-pelabur luar juga akan lebih baik setelah Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.
Kata beliau, Anwar berpengalaman luas kerana pernah menjadi Menteri Kewangan serta Menteri Pendidikan, dan seharusnya dapat melaksanakan peranan dalam mengemudi kerajaan dengan jayanya.
“Beliau turut mempunyai kedudukan yang baik di peringkat antarabangsa. Dan melihat kepada semua (faktor) itu, penerimaan pelabur-pelabur di luar juga dijangka akan lebih baik.
“Malah, apabila desas desus beliau akan dilantik (sebagai Perdana Menteri), pasaran saham sudah pun menunjukkan reaksi yang amat baik.
“Semoga kerajaan pimpinan beliau akan membawa kita ke arah pemulihan dan pengukuhan ekonomi sepenuhnya.
“Pada masa yang sama, parti-parti lain juga perlu memberi sokongan agar kerajaan yang stabil dapat diwujudkan,” katanya.
Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang Ahli Parlimen Tambun itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Khamis lalu. – UTUSAN










