AmIvest lancar dana SRI keenam

AmIvest lancar dana SRI keenam

SULAIMAN MOHD. TAHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AmInvest melancarkan dana Pelaburan Bertanggungjawab Mampan (SRI) keenamnya bagi memenuhi permintaan pelabur yang semakin meningkat dalam pelaburan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk menyumbang secara positif kepada cabaran kemampanan dunia.

Siri lestari Dana Ekuiti Global Hasil Lestari (Fund) tersebut membolehkan pelabur mendapat pendedahan kepada syarikat berkualiti tinggi di seluruh dunia yang menyasarkan hasil mampan yang positif dan meraih potensi pulangan kewangan.

Dana itu bertujuan menyediakan pertumbuhan modal jangka panjang dengan melabur terutamanya dalam Ekuiti Global Hasil Mampan Columbia Threadneedle (Lux) sebagai dana sasaran.

Portfolio pelaburan dana sasaran akan menumpukan pada lapan tema mampan berdasarkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang merangkumi pelbagai hasil sosial dan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, siri dana yang mampan tersebut sejajar dengan komitmen kemampanan di seluruh perniagaan Kumpulan AmBank.

“Falsafah pelaburan dana sasaran menggunakan SDG PBB, rangka kerja yang bertujuan untuk memangkin penyampaian keperluan pembangunan mampan utama di peringkat global.

“Kami percaya pelaburan berdasarkan tema ini seperti kemiskinan, ketidaksamaan dan perubahan iklim boleh memberikan bukan sahaja impak bermakna kepada pelabur tetapi pulangan kewangan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AmFunds Management Berhad, Goh Wee Peng berkata, syarikat yang mencari penyelesaian untuk memenuhi permintaan yang berubah-ubah akan menikmati pertumbuhan unggul, pulangan dan persaingan yang lebih luas dalam jangka panjang.

“ESG yang kukuh dan bertambah baik adalah komponen utama kualiti syarikat dan pengurusannya.

“Syarikat-syarikat ini dipilih kerana kelebihan daya saing mereka yang kukuh dan mampan untuk secara konsisten memberikan potensi pulangan tinggi ke atas modal,” ujarnya.

AmIvest berkata, mata wang asas dana ialah dolar Amerika Syarikat (AS) dan ditawarkan untuk langganan pelabur sofistikated dalam AS, ringgit Malaysia dan dalam kelas RM-Hedged pada harga tawaran permulaan masing-masing AS$1 dan RM1 seunit semasa tempoh tawaran awal sehingga 13 Disember 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN