Agrobank bukan sekadar untuk pertanian - Utusan Malaysia

Agrobank bukan sekadar untuk pertanian

TENGKU AHMAD BADLI SHAH RAJA HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

JIKA menyebut mengenai Agrobank, kebanyakan daripada kita hanya mengaitkan industri perbankan itu untuk pertanian sahaja. Bagaimanapun, Agrobank sebenarnya memainkan peranan lebih besar daripada itu.

Ini kerana, Agrobank bukan sahaja menyediakan dana pinjaman untuk petani, malah apa sahaja yang berkaitan dengan keselamatan makanan negara termasuk pemprosesan makanan, pengeluaran dan sebagainya.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, NURFARAHIN HUSSIN bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, TENGKU AHMAD BADLI SHAH RAJA HUSSIN mengenai Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM).

 

UTUSAN: Boleh ceritakan lebih lanjut mengenai DPAKM?

TENGKU AHMAD BADLI SHAH: DPAKM menawarkan kemudahan pembiayaan khusus untuk enam segmen iaitu ternakan ayam, ternakan ruminan (lembu dan kambing), penanaman sayur-sayuran, usahawan mikro, usahawan mikro baharu dan usahawan muda.

Selepas kehadiran Covid-19, telah berlaku beberapa insiden politik dunia yang menggugat pengeluaran makanan seperti peperangan Russia-Ukraine. Isu ini perlu ditangani segera supaya bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.

DPAKM menawarkan tempoh pembiayaan sehingga 8.5 tahun pada kadar keuntungan serendah tiga peratus. Kadar ini sangat menarik berbanding kadar keuntungan pembiayaan biasa yang diberikan kepada industri pengeluaran makanan, iaitu sekitar 6.75 peratus.

Selain itu, pada enam bulan pertama, moratorium diberikan secara automatik pada kadar keuntungan 0 peratus, jadi pelanggan akan mula dikenakan kadar keuntungan bermula bulan ketujuh pembiayaan.

Tempoh moratorium memberi ruang pada usahawan untuk mengatur strategi sambil menimba ilmu dan pengalaman dalam selok-belok dunia perniagaan serta menstabilkan modal pusingan sebelum memulakan pembayaran semula pembiayaan.

Apakah keistimewaan dana ini?

Tempoh moratorium adalah keistimewaannya. Ini kerana kami tidak mahu membebani usahawan dengan tekanan untuk terus membuat bayaran pembiayaan sebaik sahaja dana tersebut diluluskan dan akhirnya mereka gagal dalam perniagaan yang mereka baru usahakan.

Bagi mereka yang baru sahaja terlibat dalam perniagaan makanan atau usahawan muda mahupun mereka yang mempunyai minat untuk memulakan perniagaan makanan, mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) untuk pelbagai cabang khidmat nasihat termasuk untuk mengetahui rancangan pengurusan perniagaan atau aliran tunai.

Bagaimana sambutan sejak program dilancarkan?

Dalam tempoh tiga bulan dilancarkan, saya boleh katakan program ini mendapat sambutan memberangsangkan. Namun, secara umumnya masyarakat masih kurang pengetahuan tentang di mana mereka boleh mendapatkan bantuan kewangan bagi tujuan meningkatkan perniagaan.

Mereka juga lebih cenderung melihat Agrobank hanya sebagai bank pertanian sedangkan ia jauh lebih besar daripada itu. Kita tidak hanya memfokuskan perniagaan pertanian sahaja. Kita menawarkan pembiayaan kepada hampir semua perniagaan yang melibatkan keselamatan makanan seperti restoran, pembungkusan makanan dan sebagainya.

Bagi jumlah kelulusan, setakat 30 September 2022, kami telah meluluskan sebanyak 1,326 permohonan melibatkan pembiayaan berjumlah RM109.4 juta. Kami turut menerima 2,436 permohonan yang lengkap untuk dipertimbangkan, melibatkan jumlah pembiayaan RM269.3 juta.

Kami juga telah menerima pertanyaan untuk memohon dana melibatkan jumlah pembiayaan RM570 juta, namun permohonan mereka belum dihantar. Kami menyasarkan keseluruhan dana berjumlah RM800 juta di bawah DPAKM ini dapat dihabiskan menjelang hujung tahun ini.

Segmen yang mana melibatkan pengagihan lebih besar?

Daripada enam segmen yang difokuskan iaitu untuk ternakan ayam, kambing dan lembu, tanam sayur serta usahawan mikro, mikro baharu dan usahawan muda bagi program pembiayaan DPAKM ini, segmen usahawan mikro mencatatkan pengagihan terbesar, dengan jumlah pembayaran keseluruhan berjumlah RM35.5 juta menerusi sebanyak 1,870 jumlah permohonan.

Situasi ini didorong faktor potensi industri pertanian dan agromakanan yang terus kekal berdaya saing dan berupaya membawa impok yang positif kepada ekonomi, sekali gus memperkukuhkan keselamatan makanan negara selaras dengan prinsip pengantaraan berasaskan nilai (VB|) yang diamalkan Agrobank. 

Ini selari dengan peranan yang dimainkan oleh Agrobank sebagai sebuah institusi kewangan yang bertanggungjawab, dalam sinergi memperkukuhkan sekuriti makanan di Malaysia bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), untuk bertanggungjawab dengan mendukung pembiayaan keterangkuman kewangan yang mampan kepada pengusaha perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Adakah ini produk terbaik pernah ditawarkan oleh Agrobank?

Agrobank merupakan sebuah IKP yang bertapak di Malaysia sejak 1969 dan tahun ini adalah tahun ke-53 Agrobank memenuhi tanggungjawab dan mandatnya kepada kerajaan untuk mendukung dan menyokong industri pertanian dan makanan negara, termasuklah komuniti pertanian.

Kami di Agrobank bertanggungjawab untuk mengukuhkan sektor pertanian menerusi produk dan solusi kewangan patuh syariah yang menyeluruh untuk komuniti pertanian merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan aktiviti hiliran seperti pemrosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian.

Selain menyediakan rangkaian perkhidmatan yang komprehensif untuk menyokong rantaian nilai penuh aktiviti pertanian, kami juga mempunyai peranan besar untuk dimainkan dari segi meningkatkan kesejahteraan komuniti pertanian melalui rangkuman kewangan dan aktiviti pembangunan keusahawanan.

Rangkaian cawangan fizikal kami adalah unik kerana ia direka untuk menyediakan akses mudah kepada komuniti pertanian di kawasan luar bandar. Sebanyak 65 peratus daripada 207 rangkaian perbankan kami berada di kawasan luar bandar. Bagi pelanggan yang tinggal di kawasan yang lebih terpencil dan mempunyai akses perkhidmatan kewangan yang terhad, kami juga mempunyai rangkaian 446 ejen perbankan (Agro Agents) yang membolehkan kami menyediakan perkhidmatan kewangan yang terbaik.

Kami juga berusaha untuk meningkatkan keupayaan digital kami untuk menyediakan pelanggan kami dengan cara yang lebih mudah untuk mengakses portfolio perkhidmatan perbankan kami yang semakin meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya