KUALA LUMPUR: Keseluruhan penerima manfaat dan bantuan pendidikan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) tahun ini berjumlah lebih RM7 juta.
Menerusi inisiatif program tanggungjawab korporat sosialnya (CSR), bantuan pendidikan YPM itu telah memanfaatkan lebih 32,998 pelajar luar bandar sepanjang pelaksanaannya sejak awal tahun.
Pengerusi YPM, Datuk Mohd. Razman Yaacob berkata, YPM sentiasa ke hadapan membantu pendidikan pelajar-pelajar miskin, asnaf, fakir dan golongan B40 supaya tidak terpinggir dalam arus pendidikan.
Menurut beliau, pelbagai program CSR yang dilaksanakan oleh YPM termasuk Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB, Program Kecemerlangan & Pembangunan Insan, Program Celik Al-Quran, Program Semarak Ilmu, Skim Anak Angkat, Skim Bantuan Persekolahan dan Skim Bantuan Khas Pendidikan.
Selain itu katanya, Skim Dana Ehsan Pendidikan, Skim Pendidikan Tertiari, Program SPM Fast Track, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, Program Back To School, Program Selangkah Ke Universiti, Program STEM Challenge, Program Maths For Rural Kids (MARK) dan Program Usahawan Digital turut dilaksanakan.
“Menerusi pelaksanaan Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB, seramai 6,100 pelajar menerima manfaat dengan jumlah peruntukan bernilai RM2.13 juta.
“Skim Bantuan Persekolahan/Skim Bantuan Khas Pendidikan/Skim Dana Ehsan Pendidikan telah memanfaatkan seramai 24,667 pelajar dengan jumlah peruntukkan bernilai RM2.91 juta.
“Manakala Skim Anak Angkat telah memanfaatkan seramai 1,773 pelajar dengan jumlah peruntukan bernilai RM1.35 juta.
“Skim Pendidikan Tertiari pula telah memanfaatkan seramai 148 pelajar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 444,000.
“Program Khas SPM Fast Track telah memanfaatkan seramai 110 pelajar di 3 pusat pengajian dengan jumlah peruntukan bernilai RM880,000.
“Seterusnya, Program Celik Al-Quran turut memanfaatkan seramai 200 pelajar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM40,000”, katanya dalam ucapan sempena majlis Hi-Tea Apresiasi Penyumbang Program Pendidikan YPM, semalam.
Jelas beliau, YPM berjaya mengumpul sumbangan atau tajaan sebanyak RM4.83 juta daripada 45 syarikat korporat dan individu pada tahun ini, yang akan digunakan untuk pelbagai program pendidikan.
“Saya harap kolaboratif strategik antara YPM bersama syarikat-syarikat korporat atau individu dalam program pendidikan ini akan diteruskan demi membangu pelajar-pelajar supaya mendapat pendidikan yang setaraf,” katanya.
YPM katanya, mengalu-alukan sumbangan korporat, agensi luar dan individu dalam program CSR pendidikannya. – UTUSAN









