Wakaf: MBSB Bank, Waqaf Felda bekerjasama

Wakaf: MBSB Bank, Waqaf Felda bekerjasama

JESLEIGH Johari (dua, kiri) dan Razuwan Che Rose (dua, kanan) menunjukkan dokumen kerjasama antara MBSB dan Waqaf Felda membabitkan kemudahan sumbangan wakaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad telah menjalinkan kolaborasi strategik dengan Waqaf Felda bagi memberi kemudahan kepada pelanggan-pelanggannya untuk menyumbang wakaf.

Kerjasama itu dilihat sebagai satu usaha yang tepat memandangkan MBSB Bank merupakan sebuah bank Islam sepenuhnya yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam.

Waqaf Felda, sebuah agensi yang bertanggungjawab mengendalikan sumber wakaf Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membantu menguruskan proses wakaf untuk pe­langgan-pelanggan MBSB Bank.

Menerusi kempen Pembiayaan Peribadi-i (PFi) X-Change, MBSB Bank akan mewakafkan RM50 menerusi Waqaf Felda bagi setiap pelanggan kempen itu yang layak dan beragama Islam bermula dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2022.

Para pelanggan akan turut menerima e-Sijil daripada Waqaf Felda.

Pada masa yang sama, Waqaf Felda memberi akses portal pentadbiran kepada MBSB Bank untuk memantau sepanjang tempoh kerjasama bagi memastikan transaksi untuk para pelanggan MBSB Bank dilakukan dengan tepat.

Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf Felda, Razuwan Che Rose berkata, Waqaf Felda merupakan sebuah syarikat berhad de­ngan jaminan yang menjalankan aktiviti wakaf secara korporat.

“Berbeza dengan aktiviti perwakafan biasa, Waqaf Korporat mengutamakan kelestarian kepada dana wakaf yang dikumpul dan terbitan daripada dana tersebut akan disalurkan kepada pelbagai projek kebajikan berkepentingan umum.

“Dengan kata lain, Waqaf Felda menyediakan pelbagai manfaat kebajikan dalam satu bumbung. Inilah yang dikatakan sebagai Kuasa Ekonomi ketiga, ekonomi yang datang daripada masyarakat dan kembali semula kepada masyarakat,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi MBSB Bank, Jesleigh Johari pula berkata, MBSB Bank amat me­ngalu-alukan kolaborasi strategik dengan Waqaf Felda.

“Ia memberikan platform kepada para pelanggan MBSB Bank untuk menjadi pewakaf dan turut menyumbang ke arah pembangunan masyarakat dan pemerkasaan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya