PETALING JAYA: Vale, syarikat perlombongan terkemuka dunia mengumumkan penggunaan pemunggah kapal berautomasi (autonomous grab ship unloader) di Terminal Maritim Teluk Rubiah (TRMT), pertama seumpamanya di Asia.
Teknologi itu dijangka akan digunakan untuk menggerakkan 85 peratus muatan bijih besi Vale di TRMT, dan membolehkan syarikat mencapai tahap kestabilan operasi dan produktiviti yang lebih tinggi, selain menjimatkan kos dalam jangka masa panjang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vale di Malaysia, Rodrigo Ribeiro de Araújo, pelaksanaan pemunggah kapal berautomasi itu membolehkan Vale mengurangkan risiko kepada operasinya, pada masa sama memperkukuhkan kedudukan TRMT sebagai pelabuhan yang selamat dan boleh dipercayai.
“Ini selaras dengan strategi global Vale untuk menjadi salah satu syarikat perlombongan paling selamat dan boleh dipercayai di dunia,” katanya dalam kenyataan.
Teknologi pemunggah kapal berautomasi itu direka untuk menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pekerja, termasuk keletihan, risiko kerosakan mesin dan kelewatan di TRMT.
Pemunggah itu juga disesuaikan untuk mengendalikan Valemax, yang merupakan antara kapal pengangkut pukal terbesar dan paling cekap di dunia.
Dengan rekaan kapasiti yang mampu mengendalikan sehingga 30 juta tan bijih besi, TRMT ialah pelaburan langsung asing (FDI) tunggal terbesar di negeri Perak.
Terminal ini dikendalikan oleh tenaga kerja yang terdiri daripada 97 peratus rakyat Malaysia; lebih 60 peratus berasal dari daerah Manjung.
Rodrigo menambah, syarikat berbangga memperkenalkan teknologi tersebut Manjung di mana pertama kali teknologi seumpamanya digunakan di mana-mana lokasi operasi Vale sedunia.
Kata beliau, TRMT dikendalikan oleh kebanyakan tenaga kerja Malaysia, dengan sokongan daripada pakar teknikal dari pelbagai negara, termasuk Brazil.
“Kami berharap, usaha kami memperkenalkan pelbagai inovasi dalam aspek automasi di TRMT ini, serta inisiatif perkongsian pengetahuan yang membabitkan profesional tempatan, mampu membantu negeri Perak mendepani fasa evolusi ekonomi IR4.0 dengan jayanya.
“Pelaksanaan pemunggah kapal berautomasi dalam operasi Vale dijayakan melalui kerjasama bersama rakan-rakan kongsi tempatan dan antarabangsa termasuk iSAM dari Jerman, Meinhardt EPCM dan Everconsult Sdn. Bhd.
“Kami mengharapkan lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan penyedia teknologi tempatan dan antarabangsa dalam memperkenalkan penyelesaian inovatif yang boleh menyokong peranan TRMT sebagai komponen penting dalam strategi Vale di Asia, pasaran bijih besi terbesar dunia,” katanya. – UTUSAN










