LUMUT: Vale, syarikat perlombongan terkemuka dunia mengumumkan pelaburan berjumlah RM5 juta untuk menaik taraf Pusat Ekologi Vale (VEC) di kawasan seluas 715 ekar di Teluk Batik di sini sebagai antara tarikan ekopelancongan terkemuka di negeri ini.
Dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh Vale, VEC mempunyai ekosistem hutan pantai yang unik, menempatkan lebih 100 spesies tumbuh-tumbuhan dan 125 spesies burung.
Terletak menghadap kawasan pantai, taman ekologi itu juga merupakan habitat kepada lapan spesies karang dan pelbagai lagi spesies hidupan laut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Vale di Malaysia, Rodrigo Ribeiro de Araújo berkata, VEC adalah aset penting untuk Vale yang membolehkan syarikat itu terlibat secara langsung dalam pemuliharaan ciri-ciri semula jadi yang unik Daerah Manjung.
Menurutnya, syarikat berharap pelaburan untuk menaik taraf VEC itu akan menjadikan menjadikan pusat ekologi itu sebagai destinasi pelancongan berdaya maju, mampu menarik pelawat tempatan dan antarabangsa dan merangsang ekonomi pelancongan daerah Manjung.
“Inisiatif menaik taraf VEC yang akan bermula pada bulan Disember ini melibatkan penambahan daya tarikan baharu seperti ‘ruang zen’ yang menampilkan dewan meditasi yang unik dan penambahbaikan laluan serta kemudahan sedia ada di taman itu untuk menampung lebih ramai pelancong.
“Suasana yang tenang kawasan itu dengan menyediakan ruang yang lebih selesa untuk pelancong, ini pastinya sangat memberikan inspirasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika VEC menjadi taman pemuliharaan alam sekitar, Rodrigo berkata, beliau juga mempunyai visi untuk menjadi VEC sebagai ‘community hive’ atau tempat pertemuan komuniti di Manjung.
“VEC mampu menjadi tempat komuniti Manjung berkumpul dalam suasana yang harmoni dan inklusif.
“Sebahagian daripada naik taraf VEC, kami juga akan menambah kemudahan mesra komuniti baharu seperti dewan serbaguna dan pusat sukan yang menempatkan gelanggang futsal, bola keranjang dan sepaktakraw.
“Komuniti setempat di sini boleh menggunakan kemudahan sukan ini secara percuma, secara tidak langsung membolehkan kami mempromosikan gaya hidup sihat kepada semua warga Manjung,” katanya.
Sejak dibuka pada 2015, VEC telah menarik lebih 20,000 pengunjung.
Mulai tahun ini, taman ekologi itu juga menawarkan kelas yoga percuma secara percuma, kelas Muay Thai dan kelas kecergasan kepada penduduk Manjung dan berjaya menarik lebih 1,000 peserta setakat ini.
Tiga denai kembara hutan di VEC, termasuk denai atau laluan menuju ke air terjun setinggi 2,200 meter, dijadual dibuka semula kepada orang ramai secara berperingkat mulai November ini.
Laluan denai itu dapat memenuhi keperluan pengunjung yang mempunyai tahap kecergasan yang berbeza-beza.
“Matlamat pelaburan ini ialah untuk meletakkan VEC sebagai satu tempat di Manjung yang mana sesiapa sahaja oleh merasai dan mengunjunginya,” kata Rodrigo. – UTUSAN










