PETALING JAYA: UOB Malaysia lancar platform perbankan digital ‘semua dalam satu’ pertama industri untuk keperluan kewangan dan urusan perniagaan PKS.
Menurut UOB, aplikasi UOB SME membantu syarikat manfaatkan maklumat berasaskan data untuk membuat keputusan perniagaan yang lebih baik sambil merebut peluang pertumbuhan
Jelasnya, aplikasi UOB SME menyediakan pelbagai penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan pembiayaan dan urusan perniagaan lain, kedua-dua melalui komputer dan peranti mudah alih.
“Pelancaran aplikasi UOB SME adalah sebahagian daripada usaha berterusan UOB untuk membantu perniagaan beralih ke arah pendigitalan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas perkembangan terbaharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, UOB Malaysia telah berkembang seiring dengan komuniti PKS di Malaysia selama lebih 70 tahun, dan berharap membantu mereka dalam fasa pertumbuhan seterusnya melalui transformasi digital, amalan perniagaan yang mampan serta pengembangan rentas sempadan dengan menghubungkan mereka kepada peluang pertumbuhan di ASEAN.
“Memanfaatkan pandangan pelanggan, kami berbangga melancarkan aplikasi UOB SME yang bertujuan mempertingkat pengalaman perbankan digital pelanggan PKS kami dengan menggabungkan penyelesaian perbankan, analitik dan maklumat perniagaan ke dalam satu platform.
“Ia menyediakan PKS dengan maklumat masa nyata dan kemudahan mengurus kewangan mereka di mana-mana sahaja. Justeru, ini membolehkan PKS sentiasa termaklum tentang perniagaan mereka di samping mempunyai kawalan kewangan yang lebih baik, sambil memacu strategi pertumbuhan mereka,” katanya.
Pada awal tahun ini, UOB melancarkan UOB Infinity 1 di Malaysia untuk membantu pelanggan korporat yang besar dengan keperluan perbankan digital mereka.
Aplikasi UOB SME mempunyai keupayaan perbankan dan transaksi yang sama seperti UOB Infinity, tetapi ia juga menyediakan ciri yang disesuaikan mengikut keperluan berlainan PKS seperti penyelesaian pengurusan perniagaan dan papan pemuka interaktif, jelas institusi perbankan itu.
“Melalui platform ini, PKS dapat melihat data aliran tunai mereka melalui papan pemuka interaktif, melakukan transaksi perbankan, memohon pinjaman, menetapkan senarai pantau mata wang asing yang diperibadikan dengan makluman segera, mengakses maklumat tersuai, serta mencari acara yang berkaitan dengan industri mereka,” tambahnya.
Menurut UOB, ciri aplikasi itu dibangunkan berdasarkan penemuan Kajian Transformasi PKS ASEAN 2022 2 oleh UOB, Accenture dan Dun & Bradstreet. Kajian itu menunjukkan 63 peratus daripada PKS tempatan yang ditinjau merancang untuk meneruskan pendigitalan dan akan mengambil kesempatan daripada ekonomi digital. – UTUSAN










