PETALING JAYA: UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota Motor) meneruskan momentum jualan bagi September 2022 sebanyak 9,098 unit, manakala Lexus mencatatkan jualan sebanyak 135 unit.
Menurut UMW Toyota Motor dalam satu kenyataan, jualan keseluruhan bagi September 2022 berjumlah 9,233 unit berbanding 9,091 unit untuk Toyota dan Lexus bagi tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah jualan tahunan sehingga kini yang didaftarkan untuk September 2022 berjumlah 70,872 unit berbanding 46,118 unit bagi tempoh sama tahun lalu, menunjukkan peningkatan positif sebanyak 54 peratus dari tahun sebelumnya,” katanya.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, UMW Toyota Motor sentiasa komited mempergiatkan pengeluaran dan memastikan penghantaran sampai tepat pada masanya kepada pemilik baharu.
“Di UMW Toyota Motor kami sentiasa berasa rendah diri dengan sokongan positif yang diterima daripada pelanggan,” katanya.
Mengulas mengenai Toyota Harrier 2022, Ravindran berkata, SUV lima tempat-duduk berkenaan menjanjikan penambahbaikkan standard industri bagi memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berkembang di samping memberi pengalaman pemanduan luar biasa.
“Kami juga berbesar hati untuk mempamerkan penambahbaikan baharu yang dibuat pada Toyota Harrier 2.0L Luxury 2022 Improvement (IMP) dan berharap kemaskini ini memberikan pengalaman pemanduan yang luar biasa.
“Penambahbaikan utama termasuk Monitor Pandangan Panoramik dan ciri ‘Toyota Safety Sense’ yang dikemas kini seperti pengesanan Brek Pra-Pelanggaran, Amaran Berlepas Lorong dan Kawalan Pelayaran Radar Dinamik mengarah kepada pemanduan yang lebih selamat dan lancar secara keseluruhan,” katanya.
Toyota Harrier IMP 2022 turut didatangkan dengan edisi khas dalam warna merah metalik khas untuk menyempurnakan dalaman coklat yang mewah baharu.
Toyota Harrier IMP 2022 juga didatangkan dalam lima warna lain termasuk Slate Grey Metallic, Precious Black, Steel Blonde Metallic, Dark Blue Metallic dan Platinum White Pearl. – UTUSAN










