SEKTOR perbankan kekal pada landasan yang kukuh dan mempunyai permodalan yang mencukupi bagi menyokong pemulihan ekonomi meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan yang meningkat dalam pasaran kewangan global.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2023, ini dibuktikan melalui kedudukan modal bank yang kukuh dengan lebihan penampan modal sebanyak RM129.6 bilion dan nisbah modal yang baik pada akhir Julai 2022.
Katanya, Nisbah Modal Ekuiti Biasa kumpulan 1 (CET1), Nisbah Modal kumpulan 1 dan Nisbah Jumlah Modal kekal stabil pada 14.6 peratus, 15.2 peratus dan 18.3 peratus.
Jelasnya, ia melebihi paras minimum pengawalseliaan Basel III iaitu 4.5 peratus, enam peratus dan lapan peratus daripada aset berwajaran risiko.
“Penampan ini melindungi bank daripada potensi kerugian tidak dijangka dalam persekitaran operasi yang mencabar serta menyokong keperluan pembiayaan isi rumah dan perniagaan.
“Keupayaan bank dalam mendepani cabaran daripada potensi risiko pinjaman terjejas kekal terkawal meskipun sebahagian besar bantuan pembayaran balik telah berakhir pada Disember 2021,” katanya.
Sementara itu, industri perbankan Islam pula kekal berdaya tahan dan dinamik disokong oleh inovasi berterusan produk patuh Syariah.
Menurutnya, jumlah aset perbankan Islam meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada RM1.196 trilion yang merangkumi 35.7 peratus daripada keseluruhan aset perbankan.
“Jumlah pembiayaan Islam berkembang sebanyak 12 peratus kepada RM774.1 bilion, disokong terutamanya oleh peningkatan pembiayaan sektor isi rumah sebanyak 11.8 peratus kepada RM491.3 bilion pada akhir Julai 2022.
“Ini menyumbang sebanyak 63.5 peratus kepada jumlah pembiayaan Islam. Pembiayaan ini terutamanya untuk pembelian harta tanah kediaman sebanyak 51.9 peratus dan pembelian kenderaan pengangkutan khususnya kereta penumpang (19.8 peratus),” ujarnya. – UTUSAN










