
PERNAH kehabisan wang untuk dijadikan modal perniagaan dan dibuang kerja ketika saat tiada apa-apa.
Malah, nasib individu yang berpengalaman dalam dunia makanan dan minuman (F&B) sebelum ini juga bagai jatuh ditimpa tangga apabila kereta ditarik bank dan pekerja ‘angkat kaki’ ekoran ketidakmampuan untuk membayar gaji mereka.
Itu antara pengalaman pemilik restoran Giggles and Geeks, Abu Dzarrin Zainal Abidin yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Paling menyedihkan, biarpun langsung tiada wang ketika itu, dia tetap ke pasar raya dengan hanya bersandarkan harapan dan nasib bagi membeli barangan keperluan untuknya berniaga.
“Saya masih ingat ketika itu saya tetap ke pasar raya kononnya mahu membeli barang-barang berniaga walaupun langsung tiada duit. Bayangkan macam mana rasanya pada masa itu. Saya langsung tak fikir apa-apa.
“Apabila tiba di pasar raya, tiba-tiba hati saya terdetik untuk membuka telefon bimbit dan pada masa itulah saya perasan ada pesanan ringkas memberitahu duit bantuan yang dipohon enam bulan sebelum itu telah dimasukkan ke dalam bank,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menceritakan detik permulaan menceburkan diri dalam perniagaan, Abu Dzarrin berkata, ia bermula selepas diberhentikan kerja sebagai cef di restoran yang kini menjadi miliknya.
“Pada masa itu awal-awal Covid-19. Di restoran inilah saya dibuang kerja dan saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku. Tiba-tiba ada seorang pengarah datang bertanya pada saya, apa yang mahu dillakukan selepas ini.
“Saya terus cakap padanya untuk menguruskan restoran berkenaan,” ujarnya.
Bagaimanapun, disebabkan restoran tidak boleh beroperasi lagi, dia terpaksa menjual pisang goreng di rumah terlebih dahulu dengan menjadikan jiran sebagai pelanggan utama.
Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan, Abu Dzarrin memulakan perniagaan restoran seperti biasa sehinggalah penularan wabak sekali lagi sehingga menyebabkan banyak aktiviti tidak dapat dilakukan.
“Semasa berlaku PKP kali kedua, kami tidak menggunakan apa-apa aplikasi penghantaran dan langsung tidak boleh mengoperasikan restoran. Mujur isteri saya ada menyimpan nombor telefon pelanggan ketika menjual pisang goreng sebelum ini.

Kemudian dia terus menghebahkan perniagaan kami dari rumah ketika itu.
“Bermula daripada situlah kemudiannya perniagaan berkembang,” katanya.
Kini selepas beberapa tahun dibuka, restorannya yang terletak di Cyberjaya semakin menerima sambutan baik.
Abu Dzarrin berkata, dia merancang untuk membuka beberapa lagi cawangan pada masa akan datang selain cuba menceburi perniagaan dalam bidang francais.
“Dalam hidup ini kita perlu terus berusaha dan percaya dengan kehendak serta ketentuanNya. Semuanya diaturkan Allah SWT. Paling penting usaha dan tawakal,” ujarnya. – UTUSAN










