PETALING JAYA: Projek pembangunan telaga minyak laut dalam Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) Fasa 3 Gumusut-Kakap (GK) di luar pesisir Sabah, mencatat pengeluaran minyak pertamanya pada 31 Julai 2022.
Petronas dalam satu kenyataan memaklumkan, dua telaga pengeluar minyak baharu serta dua telaga penyuntik air telah digerudi oleh Sabah Shell Petroleum Co. Ltd. yang merupakan pengendali projek berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali Sdn. Bhd., ConocoPhilips Sabah Ltd, PTT Exploration and Production Public Company Ltd. dan PT Pertamina Malaysia Eksplorasi Produksi.
Menurut Petronas, ke semua empat telaga di dalam projek berkenaan bakal menambah kira-kira 25,000 tong sehari kepada kapasiti pengeluaran GK sedia ada apabila ia siap sepenuhnya pada suku pertama 2023.
Naib Presiden Kanan Petronas bagi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Mohamed Firouz Asnan menzahirkan rasa bangga Petronas dengan usaha luar biasa kontraktor pengatur petroleum termasuk penyedia perkhidmatan yang mendapat sokongan kukuh daripada kerajaan negeri Sabah yang telah berjaya mengatasi cabaran dihadapi projek berkenaan terutama semasa pandemik.
Katanya, pengeluaran baharu melalui GK Fasa ketiga tersebut bukan sahaja mewakili kejayaan dalam pembangunan bidang bertaraf dunia itu, malah membuka potensi penuhnya.
“Ini adalah bukti sebenar ketahanan ekosistem minyak dan gas tempatan di mana kawasan cetek terus menyokong pengeluaran negara manakala masa hadapan pula bergantung kepada peranan laut dalam yang menjadi satu perempat daripada jumlah keluasan luar pesisir kita,” katanya.
Petronas menerusi MPM, menguruskan pengaturan petroleum di Malaysia selain menyediakan pengurusan aktiviti huluan petroleum. – UTUSAN










