Teknologi hijau: TNB, Hotel Primula jalin kerjasama

Teknologi hijau: TNB, Hotel Primula jalin kerjasama

PEMASANGAN PV solar di atas bumbung premis Hotel Primula Beach Kuala Terengganu, mampu menyediakan kapasiti solar 315.5 kWp.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) giat menyumbang kepada peralihan tenaga syarikat utiliti itu apabila menjalin kerjasama dengan Hotel Primula Beach (Primula), Kuala Terengganu dalam teknologi hijau bagi mengurangkan jejak karbon.

Kerjasama itu menjadikan Primula pelanggan pertama dalam bidang perhotelan yang berhijrah kepada sistem solar.

Menurut TNB, GSPARX telah menyiapkan projek pemasa­ngan sistem solar fotovoltaik di atas bumbung bangunan hotel berkenaan pada Jun lalu untuk menjana 315.5 kWp (kilowatt peak) kapasiti solar, sekali gus menyuntik elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kepada TNB dan negara.

Perasmian sistem solar Pri­mula itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti & Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Dr. Mamad Puteh 12 Oktober lalu yang turut menyarankan agar penggiat pelancongan lain turut membangunkan teknologi hijau di hotel dan resort masing-masing, agar sama-sama membantu melestarikan alam sekitar.

“Berasaskan konsep dan prinsip pembangunan lestari secara berterusan, saya percaya pelbagai langkah dan inisiatif perlu diambil oleh semua pihak dalam usaha untuk mengekalkan kemampanan teknologi hijau agar dapat memberi manfaat jangka panjang kepada semua,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Pelanggan (SME & Residential) Bahagian Retail TNB, Abdul Rahim Abd Jamil; Ahli Lembaga Pengarah Primula, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun serta Pengurus Besar Primula, Suaibah Harun.

TNB berkata, pemasangan panel solar di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) selama 21 tahun itu membolehkan Primula menikmati anggaran penjimatan lebih RM1.49 juta sepanjang tempoh kontrak melalui penjanaan sejumlah 402,000 kWj kapasiti solar setahun.

“Inisiatif ini sejajar aspirasi nasional menuju negara neutral karbon menjelang 2050 apabila mampu mengelak pelepasan karbon dioksida (CO) dalam kuantum 285 tan metrik setahun, bersamaan dengan menanam 4,716 anak pokok selama 10 tahun atau pelepasan karbon daripada 62 kenderaan setahun di atas jalan raya,” katanya.

Sehingga kini, GSPARX telah berjaya memperolehi 267 projek dengan organisasi komersial, perindustrian & kerajaan untuk menjana sejumlah 146 MWp kapasiti solar.

Antaranya, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Sime Darby Properties, Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Seremban, Majlis Bandaraya Ipoh, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kolej Universiti TATI (TATIUC), Perak Transit, Lumileds, SKF Bearing, CJ Bio dan Spirit Aerosystems. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN