SME Malaysia lancar Hab Pemudahcara Perniagaan PKS

SME Malaysia lancar Hab Pemudahcara Perniagaan PKS

IVAN TEH (kanan) bersama Mohd Mustafa Abdul Aziz (tengah) dan Ding Hing Sing pada majlis pelancaran Hab Pemudahcara Perniagaan PKS di Dewan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Kuala Lumpur hari ini.- UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hab Pemudahcara Perniagaan PKS, sebuah ekosistem perniagaan berpacukan data, dijangka mengumpulkan kira-kira 5,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk berada di platform tersebut dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang.

Platform yang dibangunkan oleh Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) dengan menggunakan  teknologi daripada Fusionex tersebut membantu PKS memaksimumkan potensi perniagaan dan melengkapkan mereka dengan teknologi penyelesaian termaju.

Ketua Pegawai Eksekutif Fusionex, Datuk Seri Ivan Teh berkata, hab tersebut menawarkan penyelesaian inovatif untuk memperkasa SME Malaysia dan ahlinya dengan menganjurkan acara secara hibrid dan mempamerkan tawaran mereka di kedua-dua dunia fizikal dan maya.

Katanya, hab tersebut dapat mewujudkan ekosistem perniagaan yang kolaboratif, mampan dan inklusif bagi pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi masa hadapan.

“Hab Pemudahcara Perniagaan PKS bertindak sebagai pemangkin untuk mempercepat transformasi digital kepada PKS Malaysia yang akan membolehkan mereka memenuhi permintaan pasaran, meluaskan jangkauan perniagaan dan meningkatkan peluang pendapatan.

“Kami berharap kerjasama ini akan membantu SME Malaysia dan ahlinya untuk memanfaatkan sepenuhnya pendigitalan berkembang maju dalam ekonomi digital, dan menjadi peneraju industri masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran hab tersebut di Dewan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden SME Malaysia, Ding Hong Sing dan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz.

Sementara itu, Hong Sing berkata, inisiatif ini adalah selaras dengan misi persatuan untuk memperkasa PKS tempatan sebagai kuasa ekonomi Malaysia.

“Transformasi digital kini menjadi lebih penting berbanding tempoh terdahulu. Ia merupakan komponen penting untuk membolehkan PKS mengoptimumkan perniagaan mereka dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kami akan terus memperkukuh suara dan platform sedia ada untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menerima pakai teknologi dan meraih semua faedah yang ditawarkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya