PETALING JAYA: Kerajaan digesa segera menyelesaikan kemelut politik untuk menstabilkan ekonomi dan mengelakkan ketidaktentuan pasaran bagi menarik semula pelabur.
Ketidakstabilan, ketidaktentuan dan kecelaruan dalam politik negara secara tidak langsung telah memberi kesan kepada pasaran saham dan penyusutan ringgit kerana pelabur mengambil langkah untuk ‘tunggu dan lihat’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kestabilan politik bukan sahaja dapat mengembalikan pelabur luar negara, malah pelabur tempatan.
Katanya, ketidaktentuan sama ada Parlimen bakal dibubarkan dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan, menyebabkan pelabur tidak yakin dengan hala tuju negara buat masa ini.
“Memang penyusutan ringgit dan Bursa Malaysia adalah kerana fenomena global, namun ada perkara yang boleh dilakukan untuk mengembalikan keyakinan pelabur bukan sahaja pelabur luar tetapi juga pelabur domestik.
“Kita perlu memberi kestabilan politik. Kalau mahu adakan PRU, lakukan segera dan jika sebaliknya, beritahu bahawa PRU tidak akan dilakukan sehingga akhir tahun ini.
“Pelabur tidak mahu melabur kerana mereka tidak tahu hala tuju negara. Mereka tidak tahu siapa yang akan memerintah dan dasar yang akan diperkenalkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Baharom berkata, jika kemelut politik berterusan, beliau tidak menolak kemungkinan mata wang dan pasaran saham akan terus menerima kesannya.
Sementara itu, Baharom yakin Bank Negara Malaysia (BNM) dan Majlis Penasihat Kewangan Negara sedang memerhati dengan rapi dan melihat apa langkah yang bakal dilakukan dengan situasi mata wang negara kerana sebarang tindakan drastik akan memberi kesan pada masa depan ringgit.
“Penyusutan ringgit hanyalah berbanding mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dan bukan berbanding mata wang lain yang semakin mengukuh.
“Memang ada suara-suara di luar sana yang menyuruh mengikat ringgit untuk menaikkan ia semula, tetapi kesannya terlalu besar. Buat masa ini, saya lihat BNM dan Majlis Penasihat Kewangan Negara mengambil langkah tunggu dan lihat,” ujarnya.
Dalam pada itu, ringgit kekal lemah berbanding dolar dalam sesi dagangan semalam apabila ditutup pada 4.645/4.649 berbanding 4.632/4.636 Jumaat lalu.
Prestasi Bursa Malaysia juga masih tidak menentu apabila kekal di bawah 1,400 mata, ditutup pada 1,397.62 mata. – UTUSAN










