PNSB-MGB lancar rumah mampu milik bermula dari RM250,000 - Utusan Malaysia

PNSB-MGB lancar rumah mampu milik bermula dari RM250,000

DATUK Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) meninjau model skala Idaman Melur, diiringi oleh Datuk Wira Joey Lim Hock Guan (kiri) dan Tan Sri Lim Hock San (tiga dari kiri) dalam majlis pelancaran projek Idaman Melur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor di bawah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dengan kerjasama MGB Berhad, anak syarikat LBS Bina Group Berhad melancarkan projek Idaman Melur yang ditawarkan dengan harga bermula daripada RM250,000.

Satu daripada enam projek Rumah Idaman MBI di Galeri Jualan KITA @ Cybersouth itu dilancarkan selepas kejayaan pelancaran projek Idaman Bandar Saujana Putra (BSP) pada Oktober 2021 yang berjaya menarik minat pembeli dengan kadar pengambilan kukuh dalam semua fasa.

Enam buah projek Rumah Idaman MBI, yang terdiri daripada 7,210 unit rumah mampu milik kesemuanya memanfaatkan teknologi pra-tuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada pemaju hartanah yang akan membantu merealisasikan misi kerajaan dalam memastikan rumah-rumah dibina dengan harga yang mampu dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia. 

“Dengan pengalaman luas kami dalam pembinaan, kami yakin dapat membina rumah Rumah Idaman MBI dengan kualiti yang akan menjadi penanda aras untuk rumah mampu milik di Selangor.

“MGB berbesar hati kerana sistem pratuang IBS kami digunakan ke dalam pembinaan pembangunan Rumah Idaman MBI. Ini selaras dengan matlamat kami untuk menjadi penyedia solusi perumahan terkemuka melalui sistem IBS,” katanya dalam kenyataan.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, baru-baru ini.

Amirudin dalam ucapan perasmiannya berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat hal ehwal kebajikan rakyat selangor terutama di dalam penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti, selesa serta kemudahan asas yang lain. 

“Kami yakin Rumah Idaman Melur dan lain-lain lokasi projek rumah idaman yang akan dibangunkan bersama oleh PNSB dan LBS Bina Group Berhad akan meningkatkan kualiti hidup penduduk Selangor, dan sesuai dengan kehidupan individu kelas pekerja dan keluarga muda,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, PNSB akan terus merealisasikan Projek Rumah Idaman di kawasan-kawasan strategik dan berpotensi Negeri Selangor, antaranya di daerah Petaling, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. 

“Di dalam 24 buah projek yang dilaksanakan oleh PNSB, sebanyak 45,760 unit Rumah Idaman bakal dibangunkan bersama rakan-rakan strategik, satu usaha yang direalisasikan dengan bantuan dan gandingan tenaga daripada semua pihak,” ujarnya.

Idaman Melur terletak di Cybersouth, Sepang dan terdiri daripada dua buah blok pangsapuri 23 tingkat yang dibina di atas tanah berkeluasan 12.07 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM414 juta. 

Idaman Melur dengan tiga variasi reka bentuk merangkumi sejumlah 1,448 unit pangsapuri berkeluasan binaan minimum 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta dilengkapi penghawa dingin, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen dan pemanas air.

Projek-projek ini akan dibina oleh Konsortium PCSB-MGB, yang merupakan usaha sama antara MGB dan PNSB Construction Sdn. Bhd, anak syarikat PNSB. MGB dijangka melancarkan empat lagi baki projek Rumah Idaman MBI menjelang 2023.

Pendaftaran bagi Idaman Melur boleh dilakukan melalui https://ehartanah.lphs.gov.my/ dan

https://mgbgroup.com.my/idaman-melur/

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.