PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) bersama Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) menandatangani dua perjanjian melibatkan peluang kerjasama di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak dalam membangunkan industri tenaga negeri berkenaan.
Petronas dalam kenyataan memaklumkan, syarikat berkenaan telah memeterai Perjanjian Induk (HOA) dalam meluaskan penggunaan gas asli di Sarawak untuk membekalkan 60 juta kaki padu standard sehari (MMSCFD) gas menjelang 2026 kepada stesen janakuasa turbin gas kitaran gabungan 400MW di Miri.
“Selain HOA, Petronas dan Petros juga akan bekerjasama rapat untuk mewujudkan penangkapan penyimpanan karbon (CCS) sebagai peluang perniagaan baharu melalui kajian pelan hala tuju ekosistem CCS, dalam meletakkan Sarawak sebagai hab ‘pensekuesteran’ serantau.
“Kedua-dua pihak juga akan berusaha menarik penyertaan syarikat-syarikat Sarawak dan pembangunan bakat tempatan dalam bidang baharu ini,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, ketika industri beralih ke arah masa depan rendah karbon satu perjanjian kerjasama bersama (JCA) telah dimeterai dalam memudahkan pengawasan pembangunan CCS dan operasinya di Sarawak selain menjadikannya lebih rasmi.
“Kedua-dua HOA dan JCA telah ditandatangani pada 19 Oktober lalu pada majlis memperingati ulang tahun kelima Petros,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata, sebagai rakan kongsi jangka panjang Sarawak, Petronas akan terus memainkan peranannya di negeri berkenaan.
“Petronas terus memainkan peranan dalam membangunkan industri minyak dan gas yang mampan dan progresif dalam landskap peralihan tenaga, melalui projek kelas dunia seperti pembangunan gas Kasawari yang merangkumi aplikasi teknologi ‘pensekuesteran’ karbon.
“Pada masa sama Petronas juga akan terus menarik pelabur baharu ke dalam sektor huluan bagi menyokong peningkatan permintaan gas seperti yang dibayangkan dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak,” katanya.
Pada masa sama, anak syarikat milik penuh Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) telah memeterai Perjanjian ‘Farm Out’ dengan Petroleum Sarawak Exploration and Production Sdn. Bhd. (PSEP).
Perjanjian bersama anak syarikat milik penuh Petros terbabit bertujuan penjualan PCSB 45 peratus daripada kepentingan penyertaan bukan operasi dalam Blok SK407 PSC. – UTUSAN










