Peruntukan RM13 juta bantu pacu industri e-sukan - Utusan Malaysia

Peruntukan RM13 juta bantu pacu industri e-sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruntukan sebanyak RM13 juta untuk merancakkan pertumbuhan sukan elektronik atau e-sukan membuktikan kerajaan komited untuk memperkasakan sukan itu. 

Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berkata, peruntukan itu membolehkan pihak-pihak terlibat untuk terus membangunkan industri tersebut dan memacu Malaysia menjadi sebuah hab e-sukan di rantau ini. 

“Industri e-sukan sedang berkembang pesat dan semakin banyak pihak mula terlibat secara langsung di dalam ekosistem e-sukan, sekali gus mencipta pelbagai peluang pekerjaan. 

“Ia menjadi pilihan kerjaya untuk para belia masa kini dan ia semakin mendapat pengiktirafan di seluruh dunia. 

“e-sukan juga telah berjaya memasuki temasya Sukan Asia dan Sukan SEA yang jelas menunjukkan bahawa popularitinya semakin berkembang,” katanya dalam kenyataan. 

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, ketika pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat mengumumkan RM13 juta disediakan bagi pembangunan e-sukan kebangsaan. 

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada jumlah RM332 juta yang diperuntukkan untuk program latihan dan kemudahan sukan.

Ini adalah tahun kelima berturut-turut pembangunan e-sukan diberi perhatian dalam pembentangan bajet menyaksikan kerajaan turut memperuntukkan dana RM20 juta (Bajet 2022), RM15 juta menerusi Bajet 2021, RM20 juta (Bajet 2020) dan RM10 juta pada pembentangan Bajet 2019.

Yoodo adalah salah satu pemain industri e-sukan, dan telah menjenamakan dirinya sebagai “telekomunikasi utama” untuk pemain. 

Yoodo telah muncul sebagai jenama yang diiktiraf dalam bidang permainan, dan merupakan syarikat telekomunikasi paling popular dalam e-Sukan, menguasai dua permainan mudah alih paling popular iaitu PUBG Mobile dan Mobile Legends Bang Bang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya