PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM27 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, penurunan sebanyak RM7.06 bilion atau 21 peratus, berbanding RM34.06 bilion dalam tempoh yang sama pada 2021.
Ia adalah hasil daripada reaksi pasaran terhadap peningkatan risiko pertumbuhan global yang lebih perlahan dan inflasi tinggi yang tidak dialami oleh ekonomi utama sejak 1970-an.
Tidak terkecuali daripada impak pasaran global, jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP bagi suku kedua 2022 adalah RM11.14 bilion, turun sebanyak RM3.63 bilion daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi suku kedua 2022 pada RM4.88 bilion, merangkumi 44 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku tahun yang dikaji.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jangkaan pertumbuhan global telah terjejas, seterusnya mencetuskan penjualan berterusan dalam pasaran global.
“Aliran menurun yang konsisten ini telah menjejaskan penjanaan pendapatan KWSP daripada portfolio ekuitinya, terutama daripada pasaran global yang telah merosot dalam julat 17 dan 21 peratus dalam separuh pertama 2022.
“Namun, pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza, seperti yang ditetapkan dalam Alokasi Aset Strategik (SAA) telah membantu KWSP untuk kekal berdaya tahan terhadap keadaan pasaran yang tidak menentu di samping melindungi pulangan pelaburan jangka panjangnya,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










