BENGALURU: Sentimen lemah dihadapi kebanyakan mata wang Asia pada sesi dagangan semalam, dengan baht Thailand dan rupiah Indonesia mendahului kerugian, di tengah-tengah kebimbangan tekanan inflasi dan kemelesetan ekonomi yang semakin meningkat.
Sementara itu, pasaran di China dan Korea Selatan ditutup kerana cuti umum.
Inflasi yang meningkat dan potensi kemerosotan ekonomi global telah menjejaskan aset Asia yang sensitif risiko, mendorong pelabur `memegang’ mata wang yang lebih selamat seperti dolar, lapor Reuters.
Bagaimanapun, dolar AS susut kembali daripada paras tertinggi 20 tahun berbanding yen Jepun, selepas menteri kewangan negara itu berkata, kerajaan akan mengambil “langkah lebih tegas” untuk membendung sebarang pergerakan lanjut yen.
Di samping itu, peserta pasaran menunggu pembayaran gaji sektor bukan ladang AS akhir minggu ini, untuk mendapatkan gambaran lanjut bagaimana Rizab Persekutuan bergerak dengan kenaikan kadar faedah yang telah dibuat.
“Persekitaran dolar yang kukuh telah menimbulkan persoalan bagaimana Asia akan terjejas dan sama ada ini akan mencetuskan satu lagi krisis kewangan,” kata penganalisis dari Morgan Stanley Research.
Di Asia, rupiah antara yang paling terjejas, jatuh kira-kira 0.4 peratus. Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu melaporkan kenaikan inflasi pada September kepada 5.95 peratus, kurang sedikit daripada jangkaan penganalisis.
Inflasi merentasi ekonomi Asia seperti Taiwan, Filipina dan Thailand minggu ini berkemungkinan akan menentukan haluan kepada bank pusat masing-masing, yang telahpun menaikkan kadar faedah.
“Inflasi yang meningkat berkemungkinan meyakinkan Bank Indonesia (BI) untuk kekal hawkish dengan lebih banyak kenaikan kadar pada mesyuarat 20 Oktober ini,” tulis penganalisis dari ING.
Baht Thailand pula susut kira-kira 0.3 peratus, menurut ketua bank pusatnya pada Sabtu.
Mata wang lain seperti Peso Filipina, dolar Taiwan dan ringgit Malaysia jatuh antara 0.3 dan 0.4 peratus.
Kebanyakan ekuiti serantau juga berdepan risiko, dengan saham Filipina didagangkan 0.6 peratus lebih rendah. Pasaran lain seperti Singapura, Malaysia dan Thailand susut dalam julat 0.1 an 0.7 peratus. – AGENSI










