NCSB, Everest bangun infrastruktur telekomunikasi tanpa wayar

NCSB, Everest bangun infrastruktur telekomunikasi tanpa wayar

MAJLIS pemeteraian kerjasama antara Naza Communications dan Everest Infrastructure Partners untuk melabur dalam infrastruktur telekomunikasi tanpa wajar di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naza Communications Sdn. Bhd. (NCSB), syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi dan anak syarikat milik penuh Kumpulan Naza, mengumumkan kerjasama dengan Everest Infrastructure Partners ANZ Pty Ltd (Everest) untuk melabur dalam infrastruktur te­lekomunikasi tanpa wayar sedia ada di Malaysia.

Kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama untuk membangunkan lagi dan menambah baik infrastruktur telekomunikasi di seluruh negara.

Kerjasama dimeterai oleh Ke­tua Pegawai Eksekutif Everest, Will Heapy; Presiden Everest, Mike Mackey dan Ketua Pegawai Eksekutif NCSB, Darryll Sinnappa, kelmarin.

Will berkata, perkongsian dengan Naza Communications menandakan kolaborasi pertama Everest di rantau Asia Tenggara dan pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan peneraju pasaran yang mempunyai persamaan visi ke arah pelaburan infrastruktur tanpa wayar dan budaya korporat.

“Kami berdua akan bersama-sama mengenal pasti dan me­labur dalam aset infrastruktur telekomunikasi tanpa wayar di lokasi strategik di seluruh negara.

“Everest berazam untuk memainkan peranan penting dalam meningkatkan infrastruktur telekomunikasi di seluruh Malaysia, dan perkongsian ini juga akan membolehkan Everest memaksimumkan pelaburan dengan memanfaatkan kepakaran dan
pengalaman industri jangka panjang Naza Communications,” katanya dalam kenyataan.

Darryll pula berkata, Malaysia bersedia untuk pertumbuhan digital yang kukuh pada tahun-tahun akan datang dengan Naza Communications sedang berusaha untuk merealisasi potensi dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran
dengan perkongsian pintar dan projek infrastruktur utama.

“Dengan menggabungkan model perniagaan dan pelaburan inovatif Everest dengan pengetahuan dan kepakaran industri tempatan kami, kami yakin perkongsian ini akan membolehkan kami memenuhi keperluan kepadatan dan infrastruktur rangkaian wayarles Malaysia ketika negara meneruskan pelaksanaan 5G di seluruh negara,” katanya.

Everest merupakan syarikat berpangkalan di Australia yang memberi tumpuan kepada pemerolehan dan pembangunan menara komunikasi tanpa wayar, pajakan tanah menara, pajakan antena atas bumbung dan infrastruktur komunikasi wayarles lain.

Dalam usahanya untuk beker­jasama dengan pemain telekomunikasi utama Malaysia, Everest telah mengenal pasti Naza Communications sebagai rakan kongsi pilihan dengan mengambil kira pengalaman mendalam, peneraju sektor, pengalaman pasaran, sambungan industri dan kepakarran pengurusan TowerCo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN