MAN Malaysia perkenal TM Cab serba baharu

MAN Malaysia perkenal TM Cab serba baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MAN Truck & Bus (M) Sdn. Bhd. (MAN Malaysia), pengeluar trak pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V sebagai standard untuk seluruh rangkaian trak, mengumumkan bahawa pelanggannya kini boleh memilih TM Cab yang lebih tinggi dan lebih luas sebagai pilihan.

Menurut MAN Malaysia, sehingga kini, TM Cab dengan ketinggian standard menjadi pilihan pasaran Malaysia kerana cirinya yang fleksibel.

Jelasnya, reka bentuk yang kompak dan ringan menjadikannya sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti lori tangki, silo dan pembawa kontena atau untuk mengangkut balak dan bahan binaan berat di jalan raya Malaysia yang biasanya sempit.

Katanya, TM Cab serba baharu mempunyai lebar luaran yang sama iaitu 2,240 milimeter (mm) dan panjang 2,280mm seperti TN Cab tetapi lebih tinggi pada 2,035mm berbanding 1,737mm.

“Ini memberi kelebihan ruang di bahagian dalam kabin. Tambahan 280mm ruang kepala diterjemahkan kepada lebih banyak ruang untuk berdiri, bergerak dan menyimpan barangan selain ruang rehat yang lebih selesa di bahagian belakang.

“Ini penting kerana kabin ialah tempat kerja dan ruang kediaman untuk pemandu lori. Di sinilah tempat mereka menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya dan berehat selepas bekerja, terutamanya dalam perjalanan jarak jauh,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks berkata, TM Cab serba baharu merupakan satu lagi tawaran yang dipacu oleh pasaran daripada syarikat ketika MAN terus memacu perubahan ke arah masa depan.

Kata beliau, sudah hampir setahun sejak syarikat menerajui perjalanan kemampanan dengan memperkenalkan MAN Truck Generation baharu menggunakan enjin Euro V sebagai standard di Malaysia apabila tiada pengeluar lain yang berani berbuat demikian.

“Di pentas global, MAN juga terus maju ke hadapan dengan MAN e-Truck elektrik sepenuhnya yang bakal diperkenalkan dua tahun dari sekarang.

“Walaupun kami secara aktif membentuk peralihan kepada mobiliti mampan dan neutral iklim dengan produk teknologi tinggi, kami tetap komited untuk terus berinovasi dan menambahbaik produk konvensional kami untuk memenuhi keperluan ‘dunia sebenar’ industri pengangkutan hari ini.

“MAN TM Cab serba baharu menawarkan semua kelebihan TN Cab dan kini juga memenuhi keperluan elemen terpenting dalam rantaian logistik – pemandu,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN