Malaysia Airport, NADMA bekerjasama

Malaysia Airport, NADMA bekerjasama persiap pengurusan bencana

ISKANDAR MIZAL MAHMOOD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports menerusi Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang atau Airport Fire and Rescue Service (AFRS) menganjurkan program Webinar Pengurusan Bencana Udara Peringkat Kebangsaan.

Menurut Malaysia Airports, program kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tersebut bertujuan memperkasa pengetahuan dan meningkatkan kerjasama serta penyelarasan antara agensi-agensi terlibat dalam mendepani cabaran pengurusan bencana udara di Malaysia.

Selain itu, ia juga akan membantu peserta memahami kandungan dan intipati dokumen berkaitan Manual Search And Rescue (SAR) Kebangsaan, Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara (MKN Arahan 20) serta Pelan Kecemasan Aerodrom (AEP).

Program bertema “Mendepani Cabaran Pengurusan Bencana Udara di Malaysia” disertai hampir 700 peserta daripada 16 agensi kerajaan serta swasta itu, dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, syarikat sentiasa peka dalam memastikan operasi di setiap lapangan terbang memenuhi piawaian yang telah ditetapkan termasuk menyediakan pasukan AFRS yang terbaik.

“Kami sentiasa memperkasakan AEP yang bertujuan meminimakan kesan daripada kecemasan, aspek menyelamatkan nyawa dan memastikan kelestarian operasi penerbangan di Malaysia tidak terjejas.

“Usaha ini selaras dengan inisiatif kerajaan untuk mengurangkan risiko bencana dengan merangka, menyelaras dan melaksanakan program pencegahan dan mitigasi bencana,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) yang berlangsung Oktober setiap tahun, program tersebut merupakan antara libat urus NADMA bersama agensi-agensi berkaitan dalam memperkukuhkan pengurusan bencana negara.

Jelanya, kesiapsiagaan bencana merupakan proses berterusan yang perlu sentiasa dikemas kini dalam memastikan tindakan pengurusan bencana negara berada pada tahap tertinggi.

Selain Malaysia Airports dan NADMA sebagai penganjur bersama, webinar itu turut disertai Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Pegawai Daerah/Residen/Mayor dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Turut terlibat Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Senai Airport Terminal Services (SATS) dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN