Ketidaktentuan pasaran, ringgit dijangka berterusan hingga PRU15

Ketidaktentuan pasaran, ringgit dijangka berterusan hingga PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketidaktentuan pasaran saham dan ringgit dijangka berterusan sehingga pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pakar ekonomi menjangkakan, pelabur akan terus mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang pelaburan dalam tempoh berkenaan.

Pakar ekonomi juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, apabila Parlimen dibubarkan, negara hanya ada kerajaan sementara di mana sebarang keputusan berhubung dasar sukar dibuat.

“Bagi saya, kenaikan dan penurunan ini (bursa dan ringgit) bersifat sementara sehinggalah diumumkan keputusan PRU dan keadaan akan kembali seperti biasa dan mungkin juga lebih baik,” katanya.

Abu Sofian berkata, pembentukan kerajaan yang stabil selepas PRU15 mampu mengembalikan keyakinan para pelabur sekiranya polisi atau dasar baharu diumumkan kelak lebih mesra pelabur.

Kenyataan Abu Sofian disokong oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid yang berkata, pasaran saham dan ringgit akan kekal pada tahap semasa sehingga PRU15 dijalankan.

Menurutnya, tidak banyak yang boleh dilakukan ketika ini selain menunjukkan persaingan yang sihat dalam kalangan ahli politik supaya dapat membentuk keyakinan pelabur apabila kerajaan baharu terbentuk.

“Saya tidak rasa kita akan merudum ke bawah lagi dan akan kekal tahap ini. Bagi ringgit ia hanya menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat dan jika akan menyusut mungkin hanya sehingga RM4.7 berbanding dolar AS.

“Apa yang boleh dilakukan sekarang adalah untuk tidak membuat percakaran yang berlebihan. Jangan saling ‘melondehkan’ antara satu sama lain kerana bahanannya akan dihadapi oleh rakyat dan negara.

“Pelabur ketika ini akan mengambil langkah tunggu dan lihat. Oleh itu, kita tengok seberapa cepat PRU15 dapat dilakukan mengikut undang–undang dan lakukanlah ia dengan segera,” ujarnya.

Dalam pada itu, bursa Malaysia dan ringgit meneruskan trend kejatuhan untuk hari keempat berturut-turut selepas pembubaran Parlimen 10 Oktober lalu.

Dalam sesi dagangan semalam, Bursa jatuh 7.21 mata ditutup pada 1,373.36 dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 521 berbanding 321. Sementara itu ringgit pula diniagakan kekal rendah pada 4.6870/6915 berbanding 4.6735/6825 kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN