
PENJUALAN, penggunaan trak pikap semakin normal dilihat di jalan-jalan raya. Kalau 10 tahun dahulu, selalunya pemilik kenderaan jenis ini adalah mereka yang bekerja sebagai kontraktor binaan, atau perniagaan/pekerjaan yang berhubung kait dengan pembinaan, pemasangan atau logistik.
Kini, hampir separuh daripada keseluruhan pemilik tidak ada kena mengena langsung dengan pekerjaan atau perniagaan seumpamanya. Malah, golongan ini kebanyakan mahukan kenderaan seumpama ini sebagai alasan ‘sekiranya timbul keperluan’, mereka sudah mempunyai kenderaan yang sepatutnya. Keperluan-keperluan ini termasuk sekiranya ingin berkhemah, memancing atau aktiviti berkaitan alam sekitar, mengangkut barangan seperti membawa basikal lasak atau motosikal untuk digunakan di litar atau di tempat-tempat tertentu, atau perkara-perkara yang ‘sekiranya timbul keperluan’ yang lain.
Penggunaan trak pikap juga sudah tentu mempunyai penggunaan yang hampir sama dengan kenderaan SUV iaitu kebolehan melalui pelbagai bentuk permukaan dan laluan yang mempunyai tar atau pun tidak serta kebolehan untuk meredah banjir yang kini seolah-olah sudah menjadi perkara biasa di negara kita. Maka, apakah sebabnya lebih ramai kini memilih trak pikap berbanding kenderaan pacuan 4 roda seperti SUV?
Kita kupas tentang trak pikap yang ternyata, bakal terdapat jenama-jenama yang begitu sinonim dengan jenis kenderaan ini. Namun, sejak akhir-akhir ini, kebangkitan permintaan terhadap jenama Isuzu D-Max menjadi perhatian industri. Peningkatan pembelian hampir 145 peratus daripada tempoh sama pada tahun lepas, menjadikan saya sangat tertarik untuk mengetahui apakah keistimewaan Isuzu D-Max ini berbanding trak pikap lain di pasaran.

PENAMPILAN
Saya memilih model Isuzu kerana dikatakan berada di peringkat pertengahan. Saya tidak mahu spesifikasi yang tertinggi kerana mungkin model tersebut sememangnya mempunyai fungsi dan ciri-ciri paling canggih, dan sememangnya saya meminta versi 1.9cc ini yang variasinya paling meningkat permintaan.
Sebelum ini, kebanyakan trak pikap berwarna hitam, putih atau sekali sekala didatangkan dengan warna metalik. Sejak akhir-akhir ini, pengeluar pikap semakin berani menampilkan skim-skim warna yang terang dan unik seperti merah maroon atau, seperti kes Isuzu D-Max, berwarna jingga atau oren! Ia jelas menunjukkan ‘perubahan’ sektor umur yang semakin muda mula meminati atau memiliki trak pikap.
Menjanjikan keselesaan pemandu serta penumpang, kerusi versi premium ini didatangkan dengan balutan kulit serta kusyen-kusyen seperti ‘semi-bucket’. Ia menonjolkan imej seperti sebuah kereta sport, namun berfungsi memberikan keselesaan ketika dalam kabinnya.
Panel meter, tombol dan tolok fungsi hampir keseluruhannya automatik serta informasi digital pada tengah-tengah permukaan meter menjanjikan pemandu berupaya untuk mengetahui setiap situasi mekanikal yang sedang berlaku pada pikap mereka. Daripada pengurusan bilah ‘wiper’ sehinggalah pada penyalaan lampu hadapan, ia boleh dilaraskan secara manual atau pun automatik.
Sistem hiburan untuk model premium 1.9 ini, walaupun jenis skrin sesentuh, namun ia sedikit “kuno” penampilannya kerana warna skrin yang ‘monochrome’ atau satu warna sahaja. Fizikal skrinnya juga agak kecil walaupun mempunyai bingkai yang cukup besar. Penampilan skrin seperti dilupakan oleh pereka dalaman kabin ini dan nampak sangat membosankan. Walaubagaimana pun, ia mempunyai hampir semua fungsi yang diperlukan iaitu keupayaan berhubung dengan sistem telefon bimbit, sistem navigasi, radio serta penyiaran kamera belakang ketika mengundur.
Tombol panel suis untuk menguruskan sistem penghawa dingin, pemanas cermin belakang, kelajuan kipas, tidak menampakkan banyak perbezaan daripada mana-mana kereta masa kini. Namun begitu, satu tombol yang paling menarik bagi saya ialah tombol menguruskan konsep pacuan dari 2 roda ke 4 roda. Dengan hanya sekali pulas, anda boleh menukar kebolehan trak pikap anda melalui laluan-laluan yang ekstrim atau ‘off road’ daripada jalan-jalan raya bertar yang rata dan sempurna.
Sistem hawa dingin, juga mempunyai corong berasingan terletak di bahagian tengah kabin untuk lebih ‘bertiup’ terus pada penumpang di belakang. Ruang tempat duduk belakang yang begitu luas dan walaupun tidak boleh dibaringkan ke belakang, ia tidak membebankan penumpang belakang sehingga duduk terlalu tegak akibat struktur kabin trak pikap yang berbentuk bongkah.

PEMANDUAN
Sejujurnya, tidak semua pemilik atau pembeli trak pikap zaman ini benar-benar menggunakannya untuk laluan estet, laluan ‘off road’ dan tidak juga untuk mengangkut buah kelapa sawit. Jangan pula terperanjat apabila mengetahui ada pemilik yang tidak pernah langsung memandu trak pikap mereka selain jalan tar.
Maka, Isuzu memastikan D-Max ini mampu meluncur dengan baik, sistem suspensi D-Max ini agak lembut menyerap ‘halangan-halangan’ seperti bonggol-bonggol keselamatan yang sering ada pada kawasan perumahan.
Pemanduan dalam bandar pula, D-Max 1.9cc auto ini, memerlukan pemandunya memilih kuasa pacuan yang diperlukan. Sekiranya anda hanya mengekalkan pemanduan pada gear `D’, anda akan merasakan trak pikap ini agak ‘semput’ dan enjinnya meraung untuk bergerak dengan laju daripada keadaan statik atau daripada pergerakan perlahan. Begitu juga sekiranya ingin memotong kenderaan di hadapan, tujahan D-Max ini agak kurang memuaskan sekiranya mengharapkan hanya pacuan pada gear `D’. Anda harus menyendengkan tombol gear anda ketika di kedudukan D, dan bermula dengan gear yang rendah untuk melonjakkan trak pikap anda dengan pantas. Penukaran ke gear tinggi juga perlu dilakukan secara ‘manual’ untuk memberikan pacuan yang lebih sempurna.
Akan tetapi, sekiranya anda berada dalam laluan ‘off road’ yang biasa, pemilihan gear `D’ tidak langsung menjadikan D-Max ini lembap, tetapi sekiranya anda menggunakan penukaran gear secara ‘manual’ tersebut, ia memberikan kuasa pecutan dengan lebih segera. Apatah lagi sekiranya terpaksa melalui laluan ekstrim seperti laluan lori balak, merentas sungai-sungai kecil atau kawasan berpasir, anda berupaya mendapatkan kuasa sebenar trak pikap ini dengan menukar sistem pacuan menjadi 4 roda.

KESIMPULAN
Isuzu D-Max 1.9 Premium ini sebenarnya bukanlah sebuah pikap trak yang ‘hardcore’. Bagi mereka yang lebih menggemari pemanduan ekstrim, mungkin D-Max bukan untuk anda. Anda tidak perlu sensor-sensor yang kerap berbunyi kerana terdapat ‘halangan’ di hadapan, tidak perlu sistem audio yang begitu mengujakan tahap ‘bass’ dan ‘treble’nya, dan anda juga tidak perlu lampu LED dan DRL yang moden dan sporty.
Ia juga bukan sebuah kenderaan mewah yang mempunyai kapasiti enjin sehingga 3000cc, sistem suspensi hidrolik, kemasan dalaman yang eksklusif serta sistem audio dan video yang dilengkapi dengan skrin 18 inci TFT penuh warna. Tetapi hakikatnya, gaya hidup masa kini memerlukan pencantuman dua dunia iaitu dunia ektrim dan kemewahan menjadi jangkauan lebih ramai pihak.
Isuzu D-Max 1.9 Premiumi dilihat berjaya mengambil ‘jalan tengah’ dengan mempunyai hampir semua spesifikasi trak pikap atau SUV mewah dan skim warna serta kemasan luaran dan dalaman yang lebih ‘muda’, ‘sporty’, serta lebih berani.
Harga pasaran yang diperkenalkan untuk model ini adalah sekitar RM123,000 tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Harga yang saya rasakan adalah sangat berbaloi, dengan jentera Diesel VGS turbo 16V, 6 transmisi auto ‘sequential shift’, kuasa maksimum sebanyak 150PS pada tahap 3,600 rpm dan kuasa maksimum tork sebanyak 350Nm pada kadar 2,600rpm.
Dua faktor yang bakal anda hargai apabila menjadi pemilik Isuzu D-Max 1.9 ialah , tanggungan cukai jalan tahunan anda sudah tentunya tidak memerlukan anda pecah tabung setiap tahun dan aksesori tambahan terdapat dengan banyaknya di Thailand kerana model ini adalah model paling laris di negara gajah putih itu. – UTUSAN










