Inflasi Australia melonjak ke paras tertinggi 32 tahun

Inflasi Australia melonjak ke paras tertinggi 32 tahun

PENDUDUK Australia membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya yang menawarkan harga istimewa dalam usaha membantu pelanggan berdepan kenaikan inflasi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Inflasi Australia me­lonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 32 tahun pada September didorong oleh kenaikan mendadak kos pembinaan rumah dan gas.

Perkembangan itu mengejutkan pasaran sehingga mencetuskan kembali tekanan untuk kenaikan kadar yang lebih agresif oleh bank pusat Australia.

Data daripada Biro Perangkaan Australia (ABS) pada Rabu me­nunjukkan, indeks harga pengguna (CPI) melonjak kepada 1.8 peratus pada September (suku ketiga (S3), mengatasi ramalan pasaran sebanyak 1.6 peratus.

Kadar tahunan melonjak sehingga 7.3 peratus daripada 6.1 peratus, tertinggi sejak 1990 dan hampir tiga kali ganda kadar pertumbuhan gaji, lapor Reuters.

Ukuran inflasi teras juga meningkat kepada 1.8 peratus pada suku dilaporkan, mening­katkan kadar tahunan kepada 6.1 peratus, jauh melepasi ramalan pada 5.6 peratus.

Ia akan menjadi berita yang tidak diingini oleh Bank Pusat Australia (RBA) yang menyangka inflasi teras akan memuncak pada 6.0 peratus pada Disember, dengan inflasi utama di paras 7.75 peratus, jelas laporan itu.

Penganalisis bagaimanapun memberi amaran bahawa ke­dua-dua langkah teras dan selanjutnya pasti meningkatkan pada suku dilaporkan dengan CPI bulanan baharu ABS telahpun meningkat pada September.

“Hasilnya ialah, inflasi CPI akan menghampiri 8 peratus pada suku keempat (S4).

“Kenaikan harga pengguna yang lebih kukuh daripada jangkaan adalah konsisten de­ngan ramalan kami bahawa RBA akan menaikkan kadar dengan lebih agresif daripada kebanyakan jangkaan,” kata Marcel Thieliant, ahli ekonomi kanan di Capital Economics.

ANZ pula menaikkan unjuran kadar tunai ke paras puncak pada 3.85 peratus Mei tahun depan daripada 3.6 peratus sebelumnya.

Bagaimanapun, tindakan RBA untuk menaikkan kadar faedah disifatkan tidak tepat pada masanya kerana ia pasti mengejutkan ramai orang yang sebelum ini telah melalui empat kenaikan sebanyak 50 mata asas.

Kadar faedah telah meningkat sebanyak 250 mata asas sejak Mei lalu dan RBA mahu bergerak lebih perlahan untuk melihat bagaimana pengetatan drastik itu memberi kesan kepada perbelanjaan pengguna.

Pelabur kini menjangka bank pusat mungkin perlu menimbang semula (kenaikan kadar faedah) pada mesyuarat dasar minggu depan, sebaliknya boleh berbuat demikian Disember ini.

Laporan CPI pada Rabu menunjukkan harga makanan sudah meningkat pada kadar tahunan 9.0 peratus, dengan suku ketiga sahaja menyaksikan lonjakan sebanyak 3.2 peratus.

ABS menyatakan bahawa inflasi tahunan bagi barangan dan perkhidmatan penting melonjak kepada 8.4 peratus pada September, meningkatkan tekanan kos sara hidup. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN