Industri perubatan rehabilitasi berkembang pesat

Industri perubatan rehabilitasi berkembang pesat

HANAFI SALEHUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

INDUSTRI rehabilitasi sememangnya tidak asing lagi di luar negara dengan menawarkan pelbagai cabang rawatan pemulihan untuk pelbagai jenis keperluan dan penyakit yang dihadapi setiap pesakit.

Di negara ini juga ada perkhidmatan rehabilitasi ditawarkan. Namun, kebanyakannya beroperasi sebagai sebahagian daripada hospital besar kerajaan dan perlu rujukan doktor bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut yang kadangkala agak terhad.

Sebagai sebuah negara dengan populasi yang menua dan risiko penyakit seperti strok yang memerlukan penjagaan dan rawatan yang betul, perubatan rehabilitasi dilihat sebagai industri yang penting dalam bidang perubatan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif, ReGen Rehab Hospital, HANAFI SALEHUDDIN berkongsi dengan wartawan Utusan Malaysia, NUR NAZLINA NADZARI baru-baru ini mengenai misi dan harapan hospital rehabilitasi swasta pertama negara itu, yang mahu perubatan tersebut berkembang supaya setiap rakyat mendapat akses kepada rawatan pemulihan.

UTUSAN: Apakah fokus dan bentuk perkhidmatan pemulihan yang ditawarkan oleh ReGen Rehab Hospital?

HANAFI SALEHUDDIN: ReGen Rehab Hospital adalah hospital rehab swasta pertama yang mendapat lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan merupakan salah satu projek Khazanah Nasional Berhad untuk menjadi sebagai pelopor kepada pembangunan rehabilitasi dan juga kesejahteraan di Malaysia.

Sejak ditubuhkan pada 2018, fokus kami memang untuk rehabilitasi sahaja dan menawarkan perkhidmatan untuk terapi yang mana terdapat jururawat dan doktor pakar untuk rawatan tersebut.

Selain itu, kami juga mempunyai pakar pemakanan dan terapi pertuturan serta terapi untuk kanak-kanak autisme. Fokus kami adalah untuk pesakit kembali pulih dan membina semula kehidupan.

 

Boleh ceritakan mengenai industri perbuatan rehabilitasi di Malaysia?

Kalau dari segi hospital rehabilitasi swasta, kami adalah yang pertama. Tapi jika dari skop industri kesihatan di Malaysia, terdapat Hospital Rehabilitasi Cheras di bawah Kementerian Kesihatan.

Namun, untuk masuk ke sana tidak mudah dan perlu mendapatkan rujukan daripada Klinik Kesihatan atau hospital.

Sebenarnya, industri rehabilitasi ini sudah ada lama, tetapi ia merupakan sebahagian daripada hospital-hospital besar milik kerajaan.

Jadi, kami di pihak swasta mengambil fokus yang sama iaitu untuk mengembalikan pesakit kepada diri mereka yang dahulu. Apabila mereka selesai rawatan di hospital biasa, mereka boleh dirujuk ke sini untuk meneruskan program pemulihan.

 

Apakah kepentingan melakukan rawatan pemulihan selepas tamat rawatan di hospital biasa?

Dari segi kepentingan itu adalah apa yang kita mahukan adalah pemulihan yang optimum. Salah satu contoh adalah kes yang selalu kita dapat di ReGen Rebab adalah penyakit strok.

Biasanya pesakit yang dapat strok adalah mereka yang sudah berusia. Apabila mereka kena, daya fungsi mereka boleh dikatakan hilang keupayaan secara keseluruhannya, kognitif dan bercakap.

Kadang-kadang bila pergi ke hospital umum ini, apa yang kita akan memberi fokus adalah untuk merawat simptoms.

Mereka akan memastikan pesakit stabil dan kembali kepada fungsi `motor’. Tetapi jarang mereka akan fokus kepada pemulihan.

Jadi, dekat situ adalah bidang kami- untuk pulihkan pesakit itu, kerana kami mempunyai rawatan daripada ahli terapi, doktor dan sebagainya yang mengembalikan semula keupayaan mereka.

 

Apakah prospek masa depan industri perubatan rehabilitasi di Malaysia?

Memang sangat baharu dan kami masih lagi membina pasaran dengan bekerjasama hospital-hospital swasta yang lain serta Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan sokongan dari segi program dan sebagainya.

Selain itu, kami juga ada mengadakan perbincangan dengan pihak insurans dan pihak pentadbir yang lain.

Setakat ini, maklum balas daripada pihak insurans dari segi manfaat korporat adalah baik.

Namun begitu, dari segi perlindungan insurans, individu untuk rawatan sebagai pesakit yang di dalam hospital belum ada lagi.

 

Bagaimanakah perkembangan perbincangan untuk memasukan perubatan rehabilitasi dalam perlindungan insurans peribadi dan adakah perkara ini telah diamalkan di luar negara?

Ini adalah cabaran yang dihadapi ketika ini. Apabila kami menerima pesakit yang membayar sendiri rawatan mereka, biasanya adalah daripada kalangan mereka yang lanjut usia.

Jadi, kami terlepas daripada mendapatkan pesakit yang mengalami masalah seperti kecederaan trauma otak yang biasanya datang daripada kemalangan ataupun kecederaan di tempat kerja.

Jika insurans dapat menawarkan perlindungan ini, ia akan memberi manfaat kepada orang ramai untuk mendapatkan akses kepada rehabilitasi.

Kami sudah mengadakan perbincangan dengan syarikat insurans sejak 2018, namun perbincangan itu tergendala pada 2020 dan 2021 akibat Co­vid-19. Kini, perbincangan tersebut akan diteruskan semula.

Kalau kita lihat di Amerika Syarikat (AS) dan Asia Barat iaitu Abu Dhabi secara spesifik, syarikat insurans ada memberi perlindungan untuk rawatan rehabilitasi. Malah, mandat mereka adalah apabila habis rawatan di hospital umum, pemulihan perlu dibuat di hospital pemulihan.

Ketika ini, insurans di Malaysia ada perlindungan untuk rawatan pemulihan tetapi untuk rawatan pesakit luar dan bukan dalam hospital.

 

Adakah pelan untuk membuka cawangan baharu?

Mandat kami adalah serantau iaitu dengan membuka beberapa cawangan di Malaysia dan seluruh ASEAN.

Cuma, perkara ini masih baharu lagi dan masih perlu masa untuk pertumbuhan industri.

Oleh itu, kami memberi fokus pada hospital kami di Petaling Jaya dan mengembangkan perniagaan dengan saluran rujukkan daripada kerjasama dengan hospital-hospital swasta lain.

Selain itu, kami juga sudah memulakan pelancongan perubatan dengan mengambil pesakit dari luar negara.

Pasaran yang kami sasarkan ketika ini adalah Indonesia yang mempunyai populasi tinggi dan mempunyai penyebab utama kepada mobiliti adalah strok.

Namun, dari segi rawatan fisioterapi perkapita mereka agak rendah. Jadi, ia adalah pasaran yang menarik untuk diterokai dan menawarkan perkhidmatan kepada mereka.

 

Berapakah sasaran pesakit antarabangsa untuk Hospital ReGen Rehab?

Sasaran jangka masa sederhana adalah untuk mencapai 30 peratus hasil daripada pesakit antarabangsa, sama seperti hospital di negara ini.

Negara yang kami sarankan bukan sahaja daripada Indonesia tetapi juga beberapa negara lain seperti China. Sebelum ini, banyak pesakit dari China datang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital di negara ini.

Namun, agak susah untuk membuat pelan perniagaan kerana kita tidak tahu ke arah mana disebabkan pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN