Indium Corp. labur RM250 juta di Batu Kawan

Indium Corp. labur RM250 juta di Batu Kawan

CHOW Kon Yeow menandatangani plak pembukaan fasiliti kilang Indium Corporation di Batu Kawan, Pulau Pinang, kelmarin disaksikan oleh Ross Berntson (dua dari kiri) dan Arham Abdul Rahman (empat dari kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN: Pulau Pinang menjadi destinasi pilihan untuk sebuah syarikat pembekal bahan global bagi industri pemasangan elektronik dan pembungkusan semikonduktor yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) iaitu Indium Corporation mengembangkan operasi mereka di negara ini.

Ia susulan pembukaan satu fasiliti kilang dengan nilai pelaburan mencecah RM250 juta di kawasan seluas kira-kira 37,500 kaki persegi di Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP), di sini.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Indium Corporation, Ross Berntson, pembinaan fasiliti terbaharu itu sekaligus membuktikan komitmen syarikat berkenaan dalam menjalankan perniagaan mereka selama lebih empat dekad di Malaysia.

Katanya, dengan adanya kemudahan tersebut, pihaknya mampu untuk memberi lebih sokongan terhadap para pe­langgan terutamanya dalam bidang automotif, semikonduktor, elek­tronik kuasa, e-mobi­liti, perkomputeran serta pasaran lain yang berkaitan.

“Ketika ini, terdapat 30 individu (kakitangan) yang bertanggungjawab untuk menguruskan operasi kilang dan kita jangkakan apabila ia mula beroperasi sepenuhnya nanti (dengan beberapa kemudahan tambahan), jumlah itu akan meningkat kepada 100 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pembukaan fasiliti kilang itu yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pemba­ngunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Difahamkan, selain Malaysia, syarikat yang diasaskan sejak 1934 itu turut mempunyai kilang serta sokongan teknikal global di beberapa negara lain termasuk China, Jerman, India, Singapura, Korea Selatan dan United Kingdom.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi pembinaan fasiliti kilang terbaharu syarikat itu di negara ini.

Katanya, Pulau Pinang komited dalam menyediakan sokongan berterusan terhadap mana-mana pelabur selain berusaha memastikan wujudnya satu ekosistem yang dinamik selari dengan kapasiti serta keupayaan untuk menyokong keperluan pemain-pemain industri generasi baharu khususnya dalam bidang teknologi dan sebagainya.

“Dalam hal ini, saya amat berharap akan ada satu kerjasama jangka panjang antara kerajaan negeri dengan Indium (Corporation) selepas ini,” ujar beliau.

Pembinaan fasiliti kilang di BKIP itu dijangka turut memberi manfaat kepada beberapa negara di rantau ini yang tidak mempunyai kemudahan tersebut termasuk Thailand dan Vietnam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN