HUTANG dan liabiliti kerajaan meningkat daripada RM1.36 trilion kepada RM1.42 trilion setakat akhir Jun 2022 berbanding tahun lalu, menurut laporan Tinjauan Fiskal 2023.
Ia merangkumi 82.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penurunan 5.2 peratus daripada 88.1 peratus pada tahun lalu.
Dua komponen iaitu hutang Kerajaan Persekutuan dan komitmen jaminan mencatatkan peningkatan, sementara hutang 1 Malaysian Development Berhad (1MDB) dan liabiliti lain yang melibatkan perkongsian awam swasta (PPP), inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan PBLT Sdn. Bhd. (PBLT) berkurang.
Hutang Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM1.04 bilion pada akhir Jun daripada RM979. 8 bilion tahun lalu.
Jumlah hutang pada akhir Jun 2022 merangkumi 61 peratus daripada KDNK, penurunan 2.4 peratus berbanding tahun lalu.
Sementara itu, komitmen jaminan kerajaan meningkat kepada RM199.9 bilion pada akhir Jun daripada RM197.3 bilion pada tahun lalu, peningkatan sebanyak RM2.6 bilion.
Menurut laporan itu, pada akhir Jun 2022, jumlah jaminan kerajaan terkumpul menyederhana kepada RM307 bilion atau 17.9 peratus daripada KDNK berbanding RM310.4 bilion atau 20.1 peratus kepada KDNK pada akhir 2021.
Pembayaran penuh pembiayaan oleh sebahagian penerima jaminan kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang dan Johor Corporation selain pembayaran prinsipal pembiayaan yang signifikan oleh Khazanah Nasional Berhad menyumbang kepada penurunan kecil jumlah jaminan kerajaan berbanding akhir 2021.
Namun begitu, terdapat juga terbitan baharu oleh DanaInfra Nasional Berhad (DanaInfra) untuk projek pengangkutan awam dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi langkah penstrukturan semula serta pemulihan.
Manakala berdasarkan segmen, penerima GG tertinggi adalah segmen infrastruktur (56 peratus) diikuti oleh perkhidmatan (26.7 peratus), pegangan pelaburan (7.6 peratus), utiliti (5.4 peratus) dan lain-lain (4.3 peratus) dengan 10 penerima utama jaminan kerajaan mewakili lebih 85 peratus daripada jumlah jaminan.
Dari segi denominasi mata wang, lebih 90 peratus jaminan kerajaan adalah dalam denominasi ringgit manakala selebihnya terdiri daripada pelbagai mata wang lain termasuk renminbi, yen dan dolar Amerika Syarikat.
Kedudukan itu dapat meminimumkan pendedahan risiko tukaran asing kepada kerajaan. – UTUSAN










