Digi.Com catat untung bersih lebih rendah suku ketiga

Digi.Com catat untung bersih lebih rendah suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Digi.Com Bhd. penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih mencatatkan penurunan keuntungan bersih kepada RM264.48 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, berbanding RM312.82 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Digi.Com berkata, pendapatan syarikat jatuh kepada RM1.53 bilion pada suku yang sama berbanding RM1.58 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, bagi sembilan bulan pertama tahun ini, syarikat merekodkan untung bersih sebanyak RM720.67 juta, lebih rendah berbanding RM857.55 juta yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagi tempoh sama juga, Digi.Com mencatatkan hasil sebanyak RM4.59 bilion berbanding RM4.75 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun lalu.

Syarikat mengisytiharkan dividen ketiga sebanyak 3.4 sen sesaham yang bersamaan dengan Pembayaran dividen sebanyak RM264 juta.

Digi.Com berkata, syarikat melihat pertumbuhan yang stabil dalam segmen pascabayar, prabayar, fibre dan perniagaan, dipacu oleh tawaran internet kelajuan tinggi melalui pengukuhan rangkaian mudah alih.

“Permintaan pengguna untuk data terus meningkat seperti yang dibuktikan oleh pertumbuhan trafik data syarikat sebanyak 6.2 peratus dari tahun ke tahun dengan purata data bulanan bagi setiap pengguna mencapai 23 gigabite,” katanya.

Tambahnya, perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM173 juta atau 11.3 peratus capex dari hasil dilaburkan pada suku tersebut bagi menyokong permintaan untuk sambungan internet berkelajuan tinggi untuk meningkatkan lagi kualiti dan liputan rangkaiannya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pemasarannya, Praveen Rajan berkata, pihaknya menyaksikan permintaan dari semua segmen perkhidmatan mudah alih.

“Memandang ke hadapan, dengan ketidaktentuan makroekonomi seperti risiko kemelesetan global yang membebankan pasaran, kami akan kekal berdisiplin dalam pengurusan kos, sambil terus melabur dalam bidang pertumbuhan strategik, penambahbaikan rangkaian dan agenda pemodenan.

“Perbincangan berkaitan perjanjian capaian 5G dengan pihak berkaitan sedang berjalan dengan baik dan kami juga tidak sabar untuk menyempurnakan cadangan penggabungan Celcom-Digi tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN