Bersiap sedia hadapi kenaikan kos umrah - Bumitra - Utusan Malaysia

Bersiap sedia hadapi kenaikan kos umrah – Bumitra

KOS umrah dijangka meningkat berikutan permintaan yang lebih tinggi daripada penawaran selain kelemahan ringgit. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) meminta orang ramai bersedia menghadapi peningkatan kos menunaikan umrah ekoran kenaikan harga tiket penerbangan dan pertukaran mata wang.

Presiden Bumitra, Harun KC Ahmmu berkata, permintaan dan tinggi dan kejatuhan nilai ringgit berbanding riyal menyebabkan kos menunaikan umrah meningkat.

Selain itu, katanya, penerbangan yang tidak cukup akibat permintaan yang tinggi memburukkan lagi keadaan.

“Sebelum pandemik Covid-19 melanda, bilangan jemaah umrah lebih kurang 270,000 orang setahun. Bayangkan jumlah itu meningkat tiga kali berikutan umrah tidak dapat dilakukan pada 2020 dan 2021.

“Jadi, permintaan lebih tinggi daripada penawaran sekali gus menyebabkan kenaikan harga. Selain itu, kemerosotan nilai mata wang ringgit juga menyebabkan peningkatan segala kos di Arab Saudi.

“Bagi syarikat agensi pelancongan yang sudah membuat tempahan awal tiket penerbangan, harga tiket mereka tidak akan berubah tetapi yang berubah hanyalah cukai lapangan terbang.

Harun KC Ahmmu

“Selain itu, kos pengendalian, visa, pengangkutan, tempat tinggal, makan dan minum di Arab Saudi meningkat dengan ketara bila ditambah dengan cukai nilai tambah (VAT) dan cukai perbandaran masing-masing sebanyak 15 peratus dan 2.5 hingga 5.0 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kos tiket penerbangan juga akan lebih mahal sekiranya jemaah tidak membuat tempahan awal dengan agensi pelancongan.

Jelasnya, untuk penerbangan tambahan dengan syarikat penerbangan tertentu pada musim biasa, kenaikan tambang dianggarkan antara RM250 hingga RM500 manakala kenaikan kos perbelanjaan di Arab Saudi dianggarkan RM300 seorang. 

“Sebagai contoh, untuk pakej umrah bernilai RM7,500 hingga RM8,500, kenaikan dianggarkan RM300 seorang untuk yang tidak mengambil penerbangan tambahan manakala anggaran kenaikan RM550 hingga RM800 bagi yang mengambil penerbangan tambahan atau yang menempah tempat duduk tambahan dari syarikat penerbangan. 

“Justeru, saya menasihatkan jemaah untuk membuat tempahan awal dengan agensi pelancongan mereka untuk mengelakkan kenaikan kos tiket yang tinggi.

“Saya harap orang ramai boleh faham dan menerima kenaikan kos ini dengan berlapang dada kerana ia bukan dilakukan dengan sengaja tetapi kerana kemerosotan nilai ringgit serta kekurangan pesawat untuk jemaah yang ingin menunaikan umrah.

“Kami juga berharap kerajaan akan melakukan sesuatu untuk menstabilkan nilai ringgit supaya kita tidak perlu berada dalam situasi seperti ini di masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya