PETALING JAYA: Cenergi SEA Berhad (Cenergi), anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad memenangi Sukuk SRI Hijau Terbaik ASEAN pada The Asset Triple A Islamic Finance Awards 2022.
Pengiktirafan tersebut diberikan kepada Cenergi untuk Sukuk Wakalah Kanan Hijau SRI ASEAN dua peringkat berjumlah RM 210 juta yang diterbitkan pada 23 Disember 2021 lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin berkata, penerbitan sukuk korporat hijau memperkukuh potensi pertumbuhan Cenergi berdasarkan perancangan projek yang kukuh untuk merangsang penerimaan tenaga boleh baharu (TBB) dalam negara.
Katanya, pada masa yang sama, ia menyediakan peluang yang lebih luas untuk pasaran lain untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan peralihan tenaga Malaysia melalui pelaburan dalam sukuk hijau seperti ini.
“Kami berbangga dan berbesar hati menerima anugerah ini dan diiktiraf oleh pakar industri atas kejayaan penerbitan sukuk korporat hijau kami.” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, hasil daripada sukuk tersebut digunakan untuk membiayai semula pinjaman sedia ada dan pembiayaan projek tenaga boleh diperbaharui kumpulan yang akan datang.
Menurutnya, terbitan itu terdiri daripada sukuk lima tahun berjumlah RM85 juta dan sukuk tujuh tahun berjumlah RM125 juta dengan kadar keuntungan masing-masing 5.30 peratus dan 5.55 peratus setiap tahun.
Cenergi adalah pemain TBB bersepadu di Malaysia, mengkhusus dalam mengurangkan jejak karbon melalui pelaburan dalam projek tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga. – UTUSAN










