PETALING JAYA: UMW IT Services Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kumpulan UMW, menandatangani perjanjian dengan TM One
Sdn. Bhd., unit perusahaan dan sektor awam Telekom Malaysia Berhad (TM), untuk mewujudkan perkongsian perkhidmatan berasaskan pengkomputeran awan (cloud) hibrid.
Perjanjian itu membawa UMW ke peringkat yang seterusnya dalam pelan hala tuju digital dan transformasinya untuk menggabungkan dan menambah baik reka bentuk pusat data semasanya.
Perkongsian itu juga akan melengkapkan proses pemodenan pelbagai aplikasi Kumpulan dan menyokong usaha kumpulan dalam
mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam operasi di seluruh Unit Perniagaan Strategiknya.
Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Transformasi & Teknologi Kumpulan UMW Corporation Sdn. Bhd., Shahril Ariffin dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim.
Ia disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar.
Ahmad Fuaad berkata, dalam menjayakan usaha transformasi Kumpulan UMW, adalah penting untuk menaiktaraf perkhidmatan dan infrastruktur
teknologi maklumatnya bagi menyokong keperluan perniagaan.
“Kami yakin kolaborasi dengan TM One ini akan mengoptimumkan pusat data dan kecekapan dalam pengurusan data, dan meningkatkan kebolehskalaan serta menawarkan pengurusan kos yang lebih baik.
“Selain itu, perkongsian cloud hibrid ini menawarkan fleksibiliti, kebolehpercayaan, kepantasan dan keselamatan data yang
lebih baik kepada Kumpulan UMW untuk menyokong pertumbuhan perniagaan kami,” katanya dalam kenyataan.
Imri pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan UMW sekali lagi dalam menjayakan usaha transformasi digital mereka ke peringkat seterusnya melalui kaedah cloud hibrid oleh TM.
“Sebagai rakan kongsi perniagaan selama lebih 30 tahun, majlis hari ini membuktikan bahawa pentingnya pendigitalan perusahaan bagi perniagaan Malaysia dimana ia akan membawa kepada pertumbuhan kepada industri dan negara,” katanya. – UTUSAN










