U-Green: UOB Malaysia peruntuk RM1 bilion 

U-Green: UOB Malaysia peruntuk RM1 bilion 

NG WEI WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UOB Malaysia memperuntukkan RM1 bilion untuk program U-Green Financing yang akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjayakan usaha kemampanan mereka.

Program tersebut adalah kerjasama dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Malaysia (SJPP) yang akan menjamin sehingga 80 peratus daripada pinjaman melalui Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS).

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, UOB Malaysia adalah bank pertama yang bekerjasama dengan SJPP dalam program pembiayaan hijau tersebut.

Katanya, U-Green Financing disediakan untuk PKS dan syarikat bersaiz sederhana yang layak daripada semua industri yang ingin menyumbang kepada pembangunan bandar pintar dan mampan.

Menurutnya, di samping menyediakan pembiayaan, UOB Malaysia juga akan bekerjasama dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) untuk memperkenalkan siri bengkel berkenaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Siri bengkel ini bertujuan melengkapkan PKS dengan pengetahuan dan maklumat praktikal bagi memulakan perjalanan ESG mereka.

“Melalui siri bengkel ini, PKS dapat meraih manfaat daripada silibus yang dibangunkan bersama oleh MRANTI dan penyedia latihan yang diluluskan,” katanya dalam kenyataani.

Sementara itu, Wei Wei berkata, UOB Malaysia berbangga dengan usaha sama bersinergi dengan SJPP dan MRANTI tersebut yang memainkan peranan penting dan saling melengkapi dalam menyokong penerimaan ESG oleh PKS.

Menurutnya, bengkel anjuran MRANTI akan membantu PKS memperoleh pengetahuan yang diperlukan dalam penerimaan ESG, manakala kerjasama kami dengan SJPP akan menyediakan sokongan pembiayaan untuk membantu memulakan usaha kemampanan mereka.”

“Kami berbesar hati menjadi bank pertama yang bekerjasama dengan SJPP dalam melancarkan program pembiayaan hijau untuk PKS.

“Dengan menjadikan pembiayaan hijau lebih mudah diakses, kami berharap ia dapat menggalakkan PKS menerima amalan perniagaan yang mampan.

“Ini akan meningkatkan profil ESG mereka, terutamanya jika mereka berminat untuk menyertai dan bersaing dalam rantaian nilai global,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN