PETALING JAYA: Kumpulan Touch ‘n Go melancarkan Peraduan Tol Percuma yang memberi peluang kepada pengguna Touch ‘n Go RFID memenangi tol percuma selama setahun.
Peraduan berlangsung dari 10 September hingga 18 November itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang menggunakan kenderaan milik persendirian Kelas 1.
Menurut kenyataan, pengguna hanya perlu membeli dan mengaktifkan Touch ‘n Go RFID mereka dan menggunakannya minimum lima kali untuk pembayaran tol dalam tempoh peraduan untuk melayakkan diri bertanding memenangi tol percuma.
Ujarnya, sebanyak lapan pemenang akan dipilih setiap dua minggu menjadikan pemenang keseluruhan seramai 40 orang.
“Pelaksanaan Touch ‘n Go RFID adalah sebagai sokongan kepada Rangka Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia (ITS) yang melibatkan aplikasi teknologi dan sistem pintar dalam pengurusan trafik serta mobiliti untuk sistem pengangkutan yang lebih cekap dan mampan.
“Penggunaan RFID ialah pencapaian pertama dalam perjalanan ke arah sistem aliran bebas berbilang lorong untuk tol jalan terbuka.
“Dengan teknologi dan integrasi RFID Touch ‘n Go, pengguna boleh menikmati lancar dan mudah dan transaksi tanpa tunai untuk tol melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa ini, terdapat lebih daripada dua juta pengguna Touch ‘n Go RFID yang aktif dan bilangannya berkembang pesat.
Selain membayar tol, Touch ‘n Go RFID juga boleh digunakan untuk membayar petrol di stesen minyak Shell terpilih di seluruh negara.
Pengisian bahan api RFID Touch ‘n Go kini tersedia pada 100 stesen Shell di seluruh negara dan dijangka meningkat kepada 450 stesen Shell dalam tempoh dua tahun akan datang.
Tag RFID Touch ‘n Go boleh dibeli di Pusat perkhidmatan Touch ‘n Go Nu Sentral dan Bangsar, pusat kelengkapan RFID yang ditetapkan, dan di stesen minyak terpilih.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini mengenai Peraduan Tol Percuma, layari www.touchngo.com.my. – UTUSAN











