Suzuki Burgman 400 – Keselesaan faktor utama

Suzuki Burgman 400 – Keselesaan faktor utama

SUZUKI Burgman direka untuk memberikan keselesaan kepada penunggangnya. - UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM pasaran skuter maxi tempatan, iaitu skuter bersaiz dan kapasiti enjin yang besar, sememangnya direka khas bagi keselesaan penunggangnya serta berkebolehan digunakan untuk perjalanan jauh. Selain keselesaan, jika ingin menggunakannya untuk perjalanan jarak jauh, prestasi enjin juga harus memadai.

Maka atas ciri-ciri utama itu, Suzuki Burgman memberikan hasil tunggangan ujian terhadap keperluan tersebut. Ikuti kupasan saya mengenai skuter maxi.

Burgman sendiri pernah menjadi perbualan hangat di forum-forum media sosial mengenai maksud nama tersebut. Saya menjangkakan ia nama perekanya atau pun mungkin bersempena dengan seorang jurutera yang terkenal dalam dunia motosikal. Namun, kenyataan yang paling logik dapat saya pinjam untuk dibentangkan di sini ialah, ia dikatakan diambil daripada perkataan Jerman (BURG) yang bermaksud Istana/Rumah dan dicantumkan dengan perkataan MAN (manusia/lelaki). Maka, ia bermaksud skuter ini begitu selesa sehingga ia ibarat ‘rumah anda di jalan raya’.

SUZUKI Burgman dari sisi hadapan dengan menampilkan rekabentuknya tersendiri.

PENGENALAN

Berbekalkan jentera 4 lejang, silinder tunggal, Dohc, suntikan bahan api, dan berat keringnya adalah 218 kilogram (kg). Kapasiti kuasa enjin yang dibekalkan kepada pasaran tempatan ialah 400cc yang menghasilkan 29.2PS dan tork 35.2Nm. Kapasiti petrol yang boleh diisi adalah sebanyak 13.5liter.

Suspensi hadapannya menggunakan sistem konvensional iaitu jenis teleskopik dan berukuran 41 milimeter (mm) serta suspensi belakang menggunakan jenis tunggal atau monoshock. Cakera brek hadapan menggunakan jenis berkembar (kiri dan kanan) yang berukuran 260mm dengan cakera brek belakang pula jenis tunggal berukuran 210mm serta lengkap dengan ABS.

Di bawah pelananya, terdapat ruang penyimpan barangan seperti mana-mana skuter maxi yang lain, dan Burgman ini mempunyai kapasiti sebesar 42 liter, yang dikhabarkan oleh banyak pihak boleh memuatkan dua helmet full face dan sebuah helmet biasa. Namun, daripada pandangan mata kasar saya, ia seolah-olah hanya mampu menyimpan sebuah helmet penuh muka atau sebuah helmet biasa.

Ok, mungkin fakta-fakta di atas inilah yang hanya boleh anda dapati pada brosur atau dalam internet. Namun, saya akan mengupas dari segi pengendalian, penunggangan dan olahan terhadap kuasa enjinnya, sebagaimana satu laporan pandu uji yang sepatutnya dibuat dan dengan jujur.

Maka dengan itu, saya akan terus ke bahagian konklusi pandu uji Suzuki Burgman ini.

KOMBINASI susunan lampu LED memberikan pencayaan yang lebih baik.

KESIMPULAN

Suzuki Burgman ini direka untuk memberikan keselesaan menunggang yang optima. Sesiapa sahaja yang berupaya menunggang Burgman ini bakal menyatakan perkara yang sama. Ruang kaki membolehkan penunggangnya berada pada beberapa posisi, sama ada rapat ke tengah motor atau melunjur dan mendepa ke hadapan. Kedua-dua tangan anda juga mencapai handel dengan mudah serta kedudukannya yang selesa ketika menunggang di lebuh raya. Pelananya begitu empuk, dan mempunyai contour yang mampu ‘merehatkan’ bahagian bawah tulang belakang. Walaupun ia kelihatan lebar, namun untuk bahagian penunggang, anda boleh jejak kedua-dua kaki dengan selesa pada permukaan jalan raya ketika dalam keadaan statik. Ini kerana, pelananya `diukir’ tirus pada bahagian peha penunggang, dan dengan itu membolehkan kaki anda lebih mudah berada pada permukaan.

Akibat daripada kebolehan Burgman ini memberi keselesaan yang optimum untuk penunggangnya, saya merasakan prestasi enjin jentera ini agak kurang memuaskan. Berkapasiti 399cc, tidak menjanjikan kelajuan dan pecutan yang berpadanan dengan kapasitinya. Sekiranya diambil perkiraan mudah, jumlah CC yang hampir dua kali ganda dari X-Max 250 mampu memberikan kelajuan yang sekurang-kurangnya dapat mencecah 170 hingga 180kmj! Namun, hasil uji pandu saya, ia seolah-olah ‘mati’ pada kedudukan jarum 145kmj. Ujian pick up juga tidak dapat dirasakan jauh bezanya dengan X-Max. Fakta ujian ini saya tidak dapat ketepikan kerana berdasarkan kapasiti enjinnya yang begitu besar, kos insurans yang bakal dikenakan, dan kos cukai jalan mengikut CC adalah sangat besar berdasarkan ketetapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

RUANG simpanan bawangan bawah pelana agak kecil.

Walau bagaimanapun, saya juga mengakui, prestasi kelajuan bukanlah keperluan utama untuk skuter jenis maxi ini, namun sekiranya ia dalam lingkungan 250cc, bagi saya, sesuatu harus dilakukan oleh Suzuki. Itu belum saya bandingkan lagi dengan pesaing terdekatnya iaitu Yamaha T-Max 560cc.

Dari faktor keselamatan, satu fungsi yang saya tidak dapat jumpa pada skuter-skuter lain ialah Tuas brek tangan, atau lebih dikenali sebagai handbrake. Ketika berhenti parkir, anda boleh menarik tuas handbrake ini untuk memberikan lebih keyakinan ketika parkir di kawasan landai, apatah lagi di kawasan yang rata. Perasaan saya bercampur-aduk mengenai keperluan fungsi itu pada skuter ini, selain merasakan keunikannya.

Panel meter, tahap pengendalian, sistem brek ABS, juga sistem suspensi standard kilang Suzuki Burgman ini, wajar dipuji kerana selain berfungsi dengan baik, ia membolehkan pengendaliannya di dalam jalan raya kota, agak mudah dan lincah.

TAMBAHAN sistem keselamatan iaitu brek parkir.

Pun begitu, saiz tayar yang dibekalkan agak pelik, kerana daripada pandangan mata kasar, ia terlalu kecil berbanding saiz ‘badan’nya. Ia menggunakan saiz tayar yang sama seperti X-Max iaitu 15 inci pada bahagian hadapan, dan 14 inci untuk bahagian belakang. Malah, penggunaan saiz tayar juga sama iaitu 120/70 R15 dan 140/70 R14. Sehinggakan jenama tayar adalah sama dengan X-max iaitu Dunlop. Berdasarkan pengalaman saya, adalah lebih menarik sekiranya Burgman ini didatangkan dengan saiz roda yang lebih besar. Hasil pengamatan saya juga, akibat saiz roda inilah kelajuan maximum seperti sebuah skuter 250cc walaupun sebenarnya mempunyai kapasiti hampir dua kali ganda.

Sampai kita kepada fakta terakhir, iaitu harga jualan. Dijual pada harga lebih kurang RM45,999 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Mungkin ia tidak semahal skuter adventure XADV dan tidak serendah harga kebanyakan skuter maxi 250cc. Namun, selain faktor keselesaan yang sememangnya berada dalam kelas tersendiri, saya gagal menemukan faktor-faktor lain yang mampu menarik minat saya. Tiada banyak teknologi berbeza daripada model-model skuter lain yang dibekalkan. Malah, Suzuki Burgman ini juga kelihatan seperti agak ketinggalan dari segi penampilan kosmetiknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN