KLANG: Skim payung bawah Bank Rakyat melibatkan bantuan pinjaman sehingga RM50,000 hingga RM100,000 perlu direbut oleh para usahawan bagi memastikan perniagaan mereka terus berkembang melalui pembukaan cawangan baharu.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,Tan Sri Noh Omar, skim tersebut adalah komitmen kementerian untuk membantu usahawan yang berhasrat membantu usahawan kecil lain meningkatkan pendapatan.
“Menerusi skim payung, jika ada usahawan ingin membuka lima cawangan dengan keperluan RM100,000 setiap cawangan, kita akan meluluskan terus RM500,000 dengan bayaran RM100,000 setiap kali wang pinjaman disalurkan.
“Ini dasar baharu yang pihak kementerian buat untuk memudahkan usahawan. Kadang-kadang proses memakan masa lima bulan dan hendak tunggu duit dibayar tunggu lagi dua bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Produk Penyembur Fabrik Keluaran Syarikat DeeDat Air Care di Bandar Botanik, hari ini.
Noh berkata, dengan adanya sistem payung tersebut ia memudahkan usahawan menerima pinjaman dengan cepat dan tidak menunggu lama.
Sementara itu menurut pengasas DeeDat Air Care, Norazlina Yaakob, beliau dan suami, Rosman Kadir yang menjadi rakan kongsi membuktikan mereka mampu berjaya walaupun bermula daripada perniagaan di tepi jalan.
“Syarikat DeeDat Air Care telah berusaha sendiri hingga mampu mengeluarkan produk kebersihan seperti pewangi kereta, tisu basah dan pembersih fabrik dalam masa tiga tahun.
“Pihak kami telah mengembangkan perniagaan hingga ke Singapura dan bercadang untuk ke pasaran Brunei dan Indonesia,” katanya. – UTUSAN










