SHAH ALAM: Pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal kukuh bagi suku ketiga dipacu oleh perkembangan yang menggalakkan dalam perdagangan luar dan pelancongan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertumbuhan tersebut akan disokong oleh aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih teguh.
“Selain itu, kita juga menyaksikan permintaan domestik dan asing yang kukuh, berikutan peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.
“Momentum pertumbuhan ekonomi dijangka kekal kukuh pada suku ketiga 2022, didorong oleh kemajuan yang menggalakkan dalam perdagangan luar dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa majlis perasmian Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2022 yang disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin di Skypark Regional Aviation Centre (RAC), Subang Jaya Industry Park di sini semalam
Sementara itu, Zafrul berkata, kerajaan dan kementerian mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan, terutamanya dari segi pengembangan dan pengekalan perniagaan, serta birokrasi yang rumit yang mungkin menghalang pelabur asing dan domestik daripada menjalankan perniagaan di Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan memberi keyakinan bahawa usaha sedang dilakukan bagi menangani isu tersebut.
“Saya yakin inisiatif seperti SAS akan menjadi jambatan untuk menghubungkan pemain industri dari ASEAN dan seluruh dunia untuk menjalankan perniagaan di sini di Malaysia.
“Ini terutamanya dalam bidang perniagaan penerbangan, penerbangan am, helikopter, dron dan penerbangan sukan. Saya juga berharap SAS akan menjadi acara tetap di Malaysia dan rantau ASEAN,” ujarnya.
Jelasnya, beliau difahamkan, kerajaan negeri, melalui Invest Selangor telah bekerjasama rapat dengan pemain industri aeroangkasa untuk mengenal pasti bidang kerjasama serta peluang untuk meningkatkan pertumbuhan yang menguntungkan bagi industri aeroangkasa dan penerbangan negara kita.
“Saya berharap untuk melihat hasil yang positif tidak lama lagi. Sehubungan itu, saya berharap lebih banyak peluang perniagaan dan kerjasama akan muncul semasa SAS dalam beberapa hari akan datang,” tambahnya. – UTUSAN