PETALING JAYA: Penurunan niaga hadapan minyak sawit negara hanya bersifat sementara, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, sentimen dan laporan terkini menunjukkan jangkaan eksport minyak sawit negara yang tinggi daripada Indonesia selain terdapat peningkatan dalam pengeluaran.
Namun, kata beliau, persaingan dalam pasaran antarabangsa bagi produk komoditi seperti minyak sawit tidak dapat dielakkan.
“Di peringkat global, Malaysia merupakan negara pengeluar kedua terbesar minyak sawit selepas Indonesia, iaitu pesaing terdekat dari segi pengeluaran dan eksport.
“Pemilihan negara pembekal minyak sawit oleh negara pengimport berdasarkan beberapa faktor, antaranya harga, polisi negara pengeksport, amalan perdagangan, dan jalinan hubungan antara syarikat pengimport dengan pengeksport.
“Bagaimanapun, harga merupakan faktor terpenting khususnya bagi negara di mana pasaran tempatan dianggap sensitif kepada perubahan harga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, pengecualian levi eksport oleh Indonesia telah dilaksanakan untuk menggalakkan lagi eksport minyak sawit negara itu.
Tambah beliau, tawaran diskaun oleh pengeksport minyak sawit Indonesia pula adalah satu lagi usaha mereka untuk meningkatkan eksport minyak sawit dan dijangka meningkatkan daya saing minyak sawit Indonesia berbanding Malaysia serta minyak soya dan minyak bunga matahari di pasaran India.
Mengulas inventori minyak sawit negara, Ahmad Parveez berkata, stok minyak sawit pada Ogos lalu meningkat sebanyak 18.2 peratus kepada 2.09 juta tan berbanding 1.77 juta tan pada Julai 2022.
Jelasnya, ia menandakan paras stok tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun selepas November 2019 di mana stok dicatatkan pada 2.26 juta tan.
“Peningkatan stok disebabkan oleh pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi sebanyak 9.7 peratus pada Ogos 2022 berbanding bulan sebelumnya.
“Ia, ditambah dengan stok awal bulan Ogos 2022 yang lebih tinggi sebanyak 7.7 peratus, import minyak sawit yang meningkat sebanyak 11.4 peratus dan eksport minyak sawit yang lebih rendah sebanyak 1.9 peratus.
“Perbandingan situasi stok minyak sawit pada Ogos lalu berbanding bulan yang sama tahun lalu turut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.22 juta tan untuk direkodkan di paras 2.09 juta tan berbanding 1.88 juta tan stok minyak sawit pada Ogos 2021. – UTUSAN










