PETALING JAYA: Projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting, Yan oleh Kumpulan MMC dengan kerjasama SKS Corporation Sdn. Bhd., akan membantu melonjak dan mempercepatkan usaha Kerajaan Negeri Kedah membawa pembangunan berskala besar ke negeri itu.
Selain itu, projek berkenaan akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di wilayah tengah dan pesisir pantai negeri itu.
Kumpulan MMC dan SKS Corporation dalam kenyataan bersama berkata, projek itu akan turut memberikan limpahan faedah hiliran sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada penduduk Kedah seperti menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan baharu.
“Tidak ketinggalan, ia akan turut memberi manfaat kepada Agensi-Agensi Kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil pertanian terutamanya padi di kawasan MADA,” katanya.
Projek tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin. Turut hadir pada majlis itu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Pengerusi Kumpulan MMC Corporation Berhad, Tan Sri Tajuddin Atan.
Menurut kenyataan itu lagi, projek tersebut dilaksanakan dengan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah serta bantuan dan bimbingan daripada Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Matlamat utama projek adalah untuk membangunkan kawasan tengah negeri Kedah terutama daerah Yan dengan pembangunan holistik dan berteknologi tinggi membabitkan komitmen pelaburan jangka panjang daripada Kumpulan MMC yang
meliputi tiga segmen utama.
Segmen pertama adalah hab kapal-ke-kapal; kedua, pembinaan Loji Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Gabuangan (CCGT) dan ketiga, pembinaan Terminal Penggasan Semula LNG (Regassification Terminal) yang akan dikenali sebagai RGT Yan.
Jelasnya, melalui kepakaran dan teknologi yang dimiliki oleh Kumpulan MMC, ia akan turut membuka peluang kepada kontraktor-kontraktor dan pembekal tempatan untuk turut serta dan sama-sama terlibat dalam projek ini.
“Sebagai sebuah syarikat yang bertapak kukuh dan berpengalaman luas, Kumpulan MMC akan menggerak dan memanfaatkan rangkaian globalnya yang akan memberi impak yang positif kepada banyak pihak terutamanya pengusaha-pengusaha kecil dalam industri di sekitar negeri Kedah,” katanya.
Projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting, Yan dilaksanakan dengan mematuhi segala peraturan dan piawaian alam sekitar demi memastikan ia tidak menjejaskan ekosistem alam semula jadi di sekitar kawasan pembangunan dan tidak akan menjejaskan kawasan pertanian mahupun kawasan tarikan pelancongan di daerah Yan, jelasnya lagi. – UTUSAN










