PETALING JAYA: Unex Holdings Inc. telah melantik Network 1 Financial Securities Inc. sebagai penaja jamin pengurusan utama dan book runner untuk tawaran bersempena permohonan penyenaraian di Nasdaq.
Syarikat teknologi hijau itu akan bekerjasama dengan Network 1 mengenai syarat tawaran, termasuk penilaian, saiz dan harga tawaran, yang butirannya akan diumumkan dalam masa terdekat.
Syarikat itu telah memfailkan sijil pindaan dengan Setiausaha Negara Nevada untuk menukar namanya daripada Unex Holdings Inc kepada EvoAir Holdings Inc.
Unex merupakan syarikat yang disenaraikan di pasaran OTC Amerika Syarikat (AS) dan telah memfailkan permohonan borang 8K dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS pada 21 Disember 2021.
Syarikat juga telah mengumumkan penutupan satu siri transaksi melibatkan pemerolehan perniagaan pemanasan, ventilasi dan penghawa dingin (HVAC) yang dijalankan oleh EvoAir International Limited dan subsidiarinya.
Pengarah Urusan dan Pengasasnya, Kevin Chan berkata, cadangan penyenaraian Nasdaq merupakan antara strategi Kumpulan untuk meluaskan asas modal dan membina syarikat ke arah pemain antarabangsa dalam bidang HVAC dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Ia memainkan peranan penting untuk meningkatkan gaya hidup orang ramai melalui niat hijau sambil menggalakkan masyarakat untuk melindungi bumi kita.
“Syarikat kami juga teruja untuk bekerjasama dengan Network 1 bagi memanfaatkan pengetahuan dan kepakaran serta rangkaian yang luas dalam mendapatkan modal pertumbuhan yang diperlukan dan penyelesaian pasaran modal yang berjaya,” katanya dalam kenyataan.
Produk teras EvoAir adalah penghawa dingin mesra alam dengan teknologi sistem kawalan pelepasan haba (HECS) yang telah dipaten atau patennya masih dalam penangguhan.
Sistem itu akan menukar sisa haba yang dibebaskan oleh kondensor penghawa dingin konvensional (unit luaran) ke udara.
Dengan itu, transformasi kondensor penghawa dingin kepada unit penyejukan tambahan, bersama dengan ‘cold pressor’ yang juga berfungsi sebagai penyejuk udara.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Unex, Dr. Low Wai Koon berkata, misi Kumpulan adalah untuk menyumbang kepada bumi dan masyarakat sementara bumi dan 7.97 bilion penghuninya sedang menghadapi isu pemanasan global dan perubahan iklim, melalui niat hijau dan mewujudkan kesedaran.
Dalam pada itu, Evo Air Marketing (M) Sdn. Bhd. iaitu cabang pemasaran Kumpulan EvoAir, telah memeterai perjanjian perkongsian strategik dengan Mercurius Digital Sdn. Bhd. (Mercurius).
Perjanjian itu bagi mewujudkan pengaturan kerjasama untuk tujuan merangka dan melaksanakan strategi penghasilan nilai untuk Kumpulan EvoAir dan Mercurius, termasuk pembangunan saluran perniagaan dan pemasaran serta pengembangan ke dalam segmen pasaran baharu.
EvoAir merupakan syarikat teknologi hijau yang memberi tumpuan kepada reka cipta mesra alam berkaitan dengan HVAC dan ESG. – UTUSAN










