Mölnlycke sokong agenda Malaysia kurangkan pelepasan karbon

Mölnlycke sokong agenda Malaysia kurangkan pelepasan karbon

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (kanan) diberi penerangan oleh Zlatko Rihter ketika meninjau kawasan operasi kilang Molnlycke pada Majlis Pelancaran Molnlycke’s Eco- Friendly Surgical Glove Plant di KHTP, Kulim semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Syarikat peneraju kelengkapan perubatan terkemuka dunia dari Sweden, Mölnlycke komited untuk menyokong agenda Malaysia sebagai negara neutral karbon seawal 2050 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mölnlycke, Zlatko Rihter berkata, di peringkat global, mereka juga telah menetapkan untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 50 peratus dalam operasi sendiri menjelang 2030.

Katanya, dengan pembukaan kilang sarung tangan baharu di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), pembuatannya dibina dengan kerjasama penyedia penyelesaian kemampanan global, ENGIE dan Veolia Water Technologies.

“Veolia akan membantu dalam meningkatkan pengurusan sisa air, mengitar semula air dengan berkesan dan meningkatkan lagi kualiti pelepasan. Maka, dengan sistem digital Veolia, penggunaan air dijangka dapat dikurangkan kepada 50 peratus.

“ENGIE pula akan membekalkan kilang ini dengan sumber tenaga melalui panel solar untuk menggerakkan pengeluaran dan operasi pembuatan,” katanya ketika Majlis Pelancaran Mölnlycke’s Eco-Friendly Surgical Glove Plant di KHTP, Kulim semalam

Majlis perasmian tersebut dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang turut dihadiri Duta Sweden ke Malaysia, Dr. Joachim Bergström; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Naib Presiden Operasi Mölnlycke Glove, Jean Christophe Guillou.

Daripada perspektif komersial, Zlatko berkata, pembinaan kilang baharu itu selepas melihat peningkatan permintaan terhadap sarung tangan pembedahan berkualiti tinggi di seluruh dunia sebelum memutuskan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

“Memandangkan Malaysia adalah pusat kecemerlangan yang diiktiraf di peringkat global dalam bidang pengeluaran sarung tangan pembedahan berkualiti tinggi, Mölnlycke bersedia untuk membekalkan produk berkualiti premium yang menjadi pilihan utama kami di sini.

“Namun, kami tidak akan dapat berada di sini sekiranya ia bukan melibatkan sokongan dan kerjasama yang sangat baik dengan pihak berkuasa di kawasan ini dan negara,” katanya.

Kilang baharu di atas tanah seluas 29,164 meter persegi di KHTP itu melibatkan jumlah pelaburan sehingga RM233 juta yang dijangka mampu menawarkan kira-kira 400 peluang pekerjaan baharu kepada negeri itu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, Kedah berbangga menjadi lokasi kilang Mölnlycke yang baharu dan canggih, apatah lagi diiktiraf sebagai negeri yang menyediakan prasyarat yang tepat untuk pengeluaran sarung tangan pembedahan berkualiti tinggi.

“Dalam hal ini, ia membolehkan Mölnlycke merealisasikan visinya untuk meningkatkan prestasi tangan untuk penjagaan kesihatan profesional di seluruh dunia kerana tangan kita berhak mendapat yang lebih baik.

“Malah, Mölnlycke sebenarnya telah hadir ke Kedah sejak 1990, bermula dengan sebuah kilang di Kulim yang menggaji 300 orang pekerja, mereka kini menawarkan pekerjaan kepada lebih 2,500 pekerja di tiga kilang iaitu di Kulim sendiri, Kuala Ketil dan kilang baharu ini di KHTP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×