MIHAS 2022: MATRADE sasar RM1.9 bilion jualan

MIHAS 2022: MATRADE sasar RM1.9 bilion jualan

PROGRAM Sumber Antarabangsa (INSP) sempena MIHAS 2022 di Menara MATRADE Kuala Lumpur, membolehkan perjumpaan peniaga dan pembeli antarabangsa. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jualan sebanyak RM1.9 bilion semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Ke-18 dari 7 hingga 10 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz berkata, MIHAS 2021 selama tiga bulan yang diadakan secara maya telah meraih RM2.13 bilion jualan daripada kedua-dua segmen iaitu pameran dan mesyuarat perniagaan.

Selain itu, ujarnya, MATRADE turut menganjurkan Program Sumber Antarabangsa (INSP) secara maya selama hampir lima bulan pada tahun lalu.

“Namun, untuk tahun ini INSP hanya diadakan selama sehari secara fizikal dan sehingga 15 November ini secara maya.

“Walaupun dalam jangka masa yang lebih pendek, kami yakin dapat mencapai sasaran itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Menurut Mohd. Mustafa, MIHAS 2022 akan diadakan dalam edisi hibrid dan mempamerkan sebanyak 1,258 gerai mewakili 13 kluster.

MATRADE telah menambah Seni dan Budaya Islam sebagai kluster ke-13 untuk MIHAS 2022, melengkapkan kluster sedia ada terdiri daripada Farmaseutikal, Kewangan Islam, Fesyen Sederhana, Media dan Rekreasi, Kosmetik dan Penjagaan Diri, Teknologi Makanan, Francais, Perjalanan mesra Muslim, Perkhidmatan dan e-Dagang.

“Anugerah MIHAS juga dianjurkan tahun ini untuk mengiktiraf kecemerlangan inovatif dan mampan yang dipamerkan oleh jenama halal tempatan dan luar negara.

“Industri halal adalah industri yang sangat besar. Pada 2021, eksport halal negara berjumlah RM31 bilion.

“Menjelang 2025, kami menyasarkan untuk mencapai jualan eksport halal sebanyak RM56 bilion. Itu adalah peluang besar untuk syarikat Malaysia meneroka pasaran antarabangsa.

“Kami menggalakkan lebih ramai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memanfaatkan semua program dan aktiviti oleh MATRADE,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×