Kenaikan inflasi membimbangkan, OPR dijangka naik lagi

Kenaikan inflasi membimbangkan, OPR dijangka naik lagi

KENAIKAN harga barangan makanan antara penyumbang utama kepada peningkatan kadar inflasi di dalam negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan kadar inflasi amat membimbangkan kerana Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka terus menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) selari dengan tindakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Tambahan pula, negara-negara lain turut menaikkan kadar faedah masing-masing, kecuali China yang kini dilanda kemelesetan berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara itu.

Justeru, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, negara memerlukan solusi kewangan berbeza dan perekonomian diluar kotak demi kebaikan rakyat dan sistem kewangan.

“Solusi yang lebih baik perlu dilaksanakan seperti krisis inflasi pada 1998 apabila negara memperkenalkan ikatan nilai RM3.80 berbanding dolar.

“Ini kerana, jika dibiarkan kenaikan OPR dan kelemahan nilai mata wang tempatan berikutan strategi Fed AS, suasana akan semakin sukar untuk kita semua tanpa penghujungnya. BNM perlu tampil dengan penyelesaian lebih berkesan selain daripada menaikkan kadar OPR dengan mendadak terutama apabila hampir mencapai 3.0 peratus seperti pada 2019.

“Pelarasan kadar faedah itu pasti membebankan rakyat apatah lagi kadar sara hidup telah jauh meningkat secara kumulatif dari 2019 sehingga kini. Justeru, nilai wang pada masa ini sudah jauh tinggi nilainya daripada tiga tahun lepas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, kejatuhan nilai mata wang tempatan turut menyumbangkan kepada kenaikan harga makanan yang diimport kerana jika dahulu jumlah import makanan adalah RM55 bilion, kini telah meningkat hingga RM63 bilion pada tahun lalu.

“Keadaan ini sudah tentu di luar kawalan kerajaaan, namun terpaksa dihadapi oleh rakyat. Peningkatan OPR yang berterusan juga mungkin meningkatkan kes pinjaman tidak berbayar kerana kombinasi dengan kenaikan kadar inflasi,” ujarnya.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijadual akan mengumumkan keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) sama ada naik atau sebaliknya.

Pada mesyuarat 6 Julai lalu, MPC menaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

Jabatan Perangkaan pula baru-baru ini, turut mengumumkan kadar inflasi Malaysia meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai lalu berbanding 122.5 bulan sama tahun sebelumnya, dengan Indeks Makanan yang meningkat 6.9 peratus kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menegaskan, kenaikan kadar inflasi se­dikit sebanyak akan menjejaskan usaha pemulihan ekonomi negara kerana ia akan merencatkan aktiviti ekonomi dan menambah beban dan kos sara hidup kepada rakyat.

“Tindakan menaikkan OPR secara teorinya bertujuan menurunkan kadar inflasi, namun ia harus ditangani dengan berhati-hati kerana kita tidak mahu tindakan itu membebankan peminjam individu dan peniaga.

“Namun, kadar OPR sekarang pada 2.25 peratus masih lagi rendah berbanding kadar sebelum pandemik iaitu 3.25 peratus. Oleh itu, masih lagi ada ruang untuk menaikkan kadar OPR tanpa terlalu membebankan peminjam.

“Kerajaan mungkin harus memastikan tidak ada peminjam yang terkesan dengan teruk sehingga menyebabkan mereka tidak mampu membayar dan jatuh muflis,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×