PETALING JAYA: Pasaran buruh negara bertambah kukuh pada bulan Julai dengan kadar pengangguran mencatat 3.7 peratus, iaitu menghampiri paras pra-pandemik berdasarkan penerbitan Statistik Tenaga Buruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pencapaian itu adalah jauh lebih baik berbanding dengan 4.5 peratus yang dicatatkan pada 2021 dan 4.2 peratus pada Januari 2022.
“Bilangan penganggur terus menurun kepada 620,700 orang berbanding 630,600 pada Jun lalu.
“Bilangan penduduk bekerja pada Julai 2022 juga terus mencatatkan pertumbuhan positif 0.3 peratus kepada 15.98 juta orang berbanding 15.94 juta orang pada Jun 2022.
“Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan semakin meningkat, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit, serta aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan.
“Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan turut menunjukkan peningkatan, kecuali bagi sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian yang mencatatkan penurunan dalam guna tenaga,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mustapa, kedudukan tenaga buruh pada Julai 2022 juga bertambah baik berikutan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan merekodkan 16.6 juta orang.
“Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi direkodkan pada bulan tersebut iaitu pada kadar 69.6 peratus.
“Pencapaian pasaran buruh yang lebih kukuh itu disokong oleh kedudukan ekonomi yang bertambah baik bagi suku kedua tahun ini dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh pada kadar 8.9 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi separuh pertama 2022, ekonomi negara berkembang sebanyak 6.9 peratus.
Ujarnya, peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial yang kembali normal, terutamanya susulan pembukaan sempadan negara sejak 1 April lalu telah memberi impak positif terhadap pasaran buruh negara yang telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Momentum pemulihan pasaran buruh ini juga selaras dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, seperti program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan Portal Pekerjaan Negara, MyFutureJobs.
“Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Pasaran buruh dijangka akan terus kukuh pada suku tahun ketiga dengan jangkaan prestasi perniagaan lebih baik. Petunjuk keyakinan mencatat 4.7 peratus bagi suku ketiga tahun 2022 berbanding 3.5 peratus pada suku kedua.
“Itu menggambarkan situasi ekonomi dijangka lebih baik pada suku ketiga tahun ini,” katanya. – UTUSAN