K-KOMM, MDEC perkasa sektor ekonomi perkongsian

K-KOMM, MDEC perkasa sektor ekonomi perkongsian

SEC ditubuhkan antaranya untuk melindungi kepentingan pekerja gig. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menubuh serta mempengerusikan secara bersama Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian (SEC).

Penubuhan SEC selaku jawatankuasa koordinasi berpusat diumumkan selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SEC ditubuhkan untuk menasihatkan kerajaan dalam langkah intervensi dan/atau dasar untuk menyokong pertumbuhan model perniagaan Ekonomi Perkongsian selain melindungi kepentingan pekerja gig serta pengguna platform gig.

Justeru, SEC akan mengetuai semakan Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Nasional berkenaan Ekonomi Perkongsian dengan mengkoordinasi serta menyelaraskan inisiatif berkaitan Ekonomi Perkongsian baharu dan semasa antara kementerian serta agensi yang relevan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, K-KOMM mengiktiraf Ekonomi Perkongsian sebagai satu bentuk model peluang pekerjaan dan sumber pendapatan baharu yang berpotensi kepada rakyat.

“Antara sasaran yang disyorkan kepada SEC termasuk mencapai pendapatan kumulatif pasaran sebanyak RM2.7 bilion, meningkatkan platform tempatan kepada 206 dan mengiktiraf 50 platform tempatan berdasarkan standard antarabangsa, seterusnya melatih serta mengesahkan 250,000 pekerja gig dalam sektor utama seperti perkhidmatan, logistik dan peruncitan selain membangunkan 100,000 pekerja bebas digital untuk merebut peluang pekerjaan gig bernilai tinggi.

“Penghujung 2021, K-KOMM dan MDEC telah mengesahkan terdapat 137 platform Ekonomi Perkongsian yang beroperasi di Malaysia berbanding hanya lima platform pada 2015.

“Platform tempatan berkenaan menawarkan pelbagai perkhidmatan merangkumi logistik, penghantaran jarak jauh dan bantuan peribadi yang bukan sahaja memudahkan kehidupan rakyat tetapi turut membantu syarikat yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Ekonomi Perkongsian merupakan salah satu daripada daripada ekosistem digital yang telah dikenal pasti di bawah inisiatif Malaysia Digital.

Malaysia Digital merupakan inisiatif strategik nasional untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital negara secara mampan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, SEC akan dipandu oleh empat teras iaitu dasar dan peraturan, platform yang dipercayai, insentif dan piawaian serta data dan metrik.

“Ekonomi Perkongsian merupakan sebahagian daripada komponen penting ekosistem digital yang telah dikenal pasti di bawah inisiatif Malaysia Digital dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi digital negara secara mampan.

“Oleh itu, dasar yang tangkas dan sentiasa ditambah baik adalah diperlukan bagi memanfaatkan model Ekonomi Perkongsian.

“Pensijilan dan pengesahan oleh kerajaan untuk platform berkenaan akan membantu meningkatkan penggunaan pasaran sambil mengukuhkan keyakinan pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN