PETALING JAYA: Jualan kenderaan di Malaysia meningkat 63 peratus kepada 66,614 unit pada Ogos lalu berbanding 17,923 unit bulan sama tahun lalu.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata, jualan kenderaan penumpang pada bulan dilaporkan melonjak ketara kepada 59,769 unit daripada 15,475 unit bulan sama tahun lalu, manakala jualan kenderaan komersial naik kepada 6,845 unit daripada 2,448 unit.
Bagi lapan bulan pertama tahun ini, jualan turut meningkat kepada 447,209 unit daripada 274,600 unit dengan kenderaan penumpang naik kepada 397,100 unit daripada 244,623 unit dan kenderaan komersial sebanyak 50,109 unit berbanding 29,977 unit bagi tempoh sama 2021.
“Jumlah keseluruhan industri (TIV) bulan dikaji adalah 36 peratus lebih tinggi berbanding Julai 2022 iaitu pada 48,922 unit.
“Ia disebabkan oleh pemenuhan tempahan oleh syarikat kereta untuk banyak tempahan diterima sebelum 30 Jun 2022,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi jumlah pengeluaran pula, MAA berkata, sebanyak 69,378 kenderaan dikeluarkan pada Ogos 2022 berbanding 13,961 unit pada bulan yang sama tahun lalu.
Menurutnya, pengeluaran kenderaan penumpang meningkat kepada 64,282 unit pada Ogos berbanding 12,897 unit pada bulan tahun lalu manakala pengeluaran kenderaan komersial naik kepada 5,096 unit daripada 1,064 unit sebelumnya.
Mengenai unjuran untuk September 2022, MAA menjangkakan jumlah jualan akan kekal sama seperti paras Ogos.
“Kekurangan cip dan komponen akan terus menjejaskan beberapa jenama kenderaan,” ujarnya. – UTUSAN










