JOHOR BAHRU: Johor mencatat pelaburan tertinggi dalam negara, iaitu sebanyak RM60.9 bilion bagi separuh tahun pertama 2022.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 822 peratus berbanding pelaburan sebanyak RM6.6 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), peningkatan pelaburan itu membuktikan Johor mampu menarik pelaburan yang berteknologi tinggi dan berkualiti, sekali gus melonjakkan ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi.
“Bagi pelaburan dari Januari hingga Jun tahun ini, sektor perkhidmatan mencatatkan pelaburan sebanyak RM54.2 bilion.
“Ia telah menyumbang hampir keseluruhan daripada jumlah pelaburan dengan kehadiran firma-firma pusat data yang berpangkalan di luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, sektor perkilangan menarik pelaburan luar yang memberangsangkan sebanyak RM6.7 bilion.
Katanya, kesemua pelaburan itu akan menyumbang dalam menyediakan peluang pekerjaan baharu dan akan memperlihatkan kesan pengganda yang ketara di dalam negeri.
Menurutnya, tumpuan yang diberikan bagi penyediaan infrastruktur asas dan insentif pelaburan yang menarik, memberikan keyakinan kepada pelabur, sekali gus mengekalkan hubungan luar dan memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk mengekalkan prestasi ini selain mengenal pasti lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan berimpak tinggi untuk bertapak di Johor.
“Ini penting kerana dengan keadaan geopolitik dunia kini, dana pelaburan yang konsisten akan menjadi penampan ekonomi dan membantu Johor mengemudi masa-masa yang tidak menentu.
“Ini sekali gus dapat menjamin kelangsungan hidup dan kesejahteraan rakyat pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN










