PETALING JAYA: Peningkatan kesedaran dan usaha oleh institusi kewangan untuk mengukuhkan tindak balas mereka terhadap risiko iklim membawa kepada peningkatan permintaan langkah-langkah praktikal dan segera untuk menangani jurang utama yang diperlukan untuk menyokong kepada peralihan.
Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kenyataan bersama berkata, Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) terus berhubung dengan kementerian, agensi kerajaan dan korporat yang berkaitan untuk mengenal pasti iklim dan keperluan pembiayaan mampan yang boleh digerakkan melalui sektor kewangan.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Jessica Chew berkata, pihaknya gembira apabila institusi kewangan semakin memberikan tumpuan dan mengambil tindakan nyata untuk menguruskan risiko berkaitan iklim.
“Walau bagaimanapun, kemajuan selanjutnya juga akan sangat bergantung pada pendorong utama, termasuk ketercapaian data dan pelaksanaan penzahiran yang lebih baik.
“JC3 terus komited untuk menangani cabaran ini seiring dengan peningkatan usaha untuk mempercepatkan peralihan kewangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin berkata, penting bagi JC3 untuk mengadakan libat urus dan bekerjasama erat dengan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam usaha memajukan tindakan iklim di Malaysia.
“Bagi tujuan ini, JC3 telah menjalankan beberapa sesi libat urus termasuk bermesyuarat dengan empat kementerian utama pada Julai untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dengan kerajaan.
“Libat urus sedemikian telah memperjelas rancangan dan inisiatif negara yang boleh dilaksanakan dengan kerjasama antara sektor kewangan dengan kerajaan.
“Kedua-dua pihak boleh menyelaraskan tindakan iklim mereka dalam membangunkan ekosistem yang kondusif untuk kewangan mampan terus berkembang,” ujarnya.
JC3 telah mengadakan mesyuarat untuk kali kelapan pada 29 Ogos lalu dan terus memberi fokus kepada beberapa perkara termasuk penyerahan laporan pertama institusi kewangan mengenai penggunaan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (CCPT) kepada BNM. – UTUSAN










